Sabtu, November 12, 2005

Saturday, November 12 @ 14:38:37 MYT

KOTA BHARU, 12 Nov (Hrkh) – Pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir dianggap sebagai medan awal bagi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, memulihkan imejnya yang banyak tercalar. Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa berkata, Dato’ Seri Annuar Musa mahu menjadikan tapak permulaan di Pengkalan Pasir sebahagian daripada agenda memulihkan imejnya yang begitu kontroversi sebelum ini. “Sebab itu beliau cuba bekerja bermati-matian bagi mencapai kemenangan dengan melakukan apa sahaja. Matlamatnya mahu merampas DUN Pengkalan Pasir. “Namun sekiranya hasratnya itu gagal, maka ia menjadi petunjuk rakyat Kelantan tidak menerima lagi pemimpin yang begitu kontroversi sebelum ini,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Parlimen Kubang Kerian di Binjai, malam tadi. Hadir sama, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Haji Buni Amin Hamzah. Penduduk yang hadir disajikan pelbagai kuih muih dan persembahan dikir barat. Sebelum ini sepanjang lebih 10 tahun Annuar dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, beliau gagal melaksanakan tugasnya. Imej Umno hanya bangkit di bawah kepemimpinan Dato’ Mustapa Mohamed. Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, isu kerugian Bank Islam sebanyak RM700 juta begitu sensitif kepada rakyat Kelantan memandangkan sebahagian besar mereka menyimpan wang di bank tersebut. Menurutnya, isu kerugian tersebut lebih menyukarkan lagi hasrat Umno untuk mendekati pengundi di Pengkalan Pasir kerana mereka tidak boleh menerima wang begitu banyak diselewengkan. Buni Amin berkata, sudah kelihatan petanda awal Umno menghadapi kesukaran di Pasir Mas memandangkan petugas parti itu seperti tidak bersedia menghadapi pilihan raya kecil terbabit. “Sehingga kini belum lagi kelihatan petugas Umno menggerakkan pos-pos biar pun Timbalan Prsiden Umno sudah datang berkempen,” ujarnya. Keadaan itu dapat dilihat apabila kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang diwujudkan di bawah Kementerian Penerangan hanya singgah di kedai-kedai kopi di Pasir Mas kerana tidak mempunyai pos untuk dikunjungi. Sumber Umno memberitahu, kakitangan Jasa yang merupakan lantikan politik hanya bermesyurat di kedai-kedai kopi bagi mengatur strategi untuk berdepan dengan PAS. “Sejak awal malam lagi mereka sudah berada di kedai kopi, kemudian menjelang tengah malam mereka pulang ke rumah masing-masing,” katanya. Harakahdaily.net juga difahamkan Persatuan Bekas Anggota Tentera Malaysia juga sudah mengarahkan ahli persatuan datang membantu calon BN di Pengkalan Pasir.- mJ

0 Comments:

Post a Comment