Sabtu, November 12, 2005

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menyatakan akan membantu jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Pasir 6 Disember ini.

Menurut Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan, PKR Kelantan dalam usaha membantu jentera PAS itu akan membangkitkan isu-isu nasional.
Nik Mahmood berkata, di antara isu utama yang akan diudedahkan PKR ialah, soal rasuah yang semakin bermaharajalela dan ketidakberkesanan jentera kerajaan dalam usaha menyekat wabak rasuah itu di dalam pentadbiran kerajaan.
Selain isu PKR juga akan membangkitkan isu pengurusan negara, diskriminasi biasiswa, kenaikan harga barang dan beberapa isu lain yang berkaitan rakyat khasnya rakyat Kelantan.
“Saya yakin isu-isu ini akan mendapat sambutan hangat di kalangan pengundi terutama orang muda di Pengkalan Pasir,” katanya lagi.
Katanya, PKR akan bertindak mendedahkan isu di peringkat nasional sementara PAS yang memerintah negeri memfokuskan isu-isu setempat seperti masalah sawah terbiar, jalan tidak siap dan kemiskinan mereka yang mana PAS lebih arif mengenai isu itu.
Tambahynya, pihak PKR Kelantan akan memberi sepenuh komitmen untuk memastikan PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Pasir seterusnya mempertahankan kerajaan Kelantan dengan kelebihan 3 kerusi.
Sementara itu katanya, PKR juga telah mengenalpasti lokasi tertentu yang akan beroperasi sebagai markas jentera pilihan PKR di kawasan Pengkalan Pasir.
“Jumlahnya bergantung kepada keperluan tetapi di kawasan yang ramai penyokong PKR, kami akan membuka markas pilihan raya bagi memudahkan operasi dibuat,” katanya.-wn.

0 Comments:

Post a Comment