Ahad, November 20, 2005

Oleh Rohana Mohd Nawi
RANTAU PANJANG: "Kami datang ke sini untuk menceritakan kejadian sebenar berhubung tragedi sembilan penduduk Islam maut dan sembilan lagi cedera dalam serangan dan letupan bom di Kampung Ketong, Narathiwat, Rabu lalu.

"Laporan media Thailand dan Malaysia mengenai kejadian itu tidak betul. Pembunuhan itu sebenarnya didalangi tentera dan bukannya kumpulan pemisah seperti didakwa pihak berkuasa.

"Saya nampak sendiri anggota tentera Thailand berdiri di hadapan rumah ketika terjun menerusi tingkap di rumah kejadian," dakwa lelaki berusia 30 tahun yang enggan mendedahkan identiti bersama empat jirannya yang membawa bersama dua bayi berusia enam bulan dan setahun.

Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu mengambil risiko datang ke kawasan Malaysia bagi menceritakan kejadian sebenar di kampung itu, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini.

Penduduk kampung itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 35, serta dua bayi yang menaiki pikap bertolak dari Kampung Ketong, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Mereka tiba di Rantau Panjang kira-kira jam 7 malam, sebelum dibantu penduduk kampung menghubungi wakil media dari Kota Bharu dan bertemu jam 11 malam.

Lelaki yang bertindak sebagai jurucakap itu berkata, mereka datang mendedahkan kejadian itu selepas mendapati laporan media massa Thailand tidak menceritakan keadaan sebenar.

Ketika menceritakan kisah sebenar kejadian itu, dia mendakwa: "Saya terkejut dari tidur kira-kira jam 1.30 pagi sebaik terdengar bunyi tembakan dan letupan bom berhampiran rumah. Saya bergegas terjun menerusi tingkap bagi menyelamatkan diri.

"Ketika itu, saya ternampak lelaki berpakaian tentera bersenjata automatik berdiri di depan rumah. Pada masa sama, saya nampak rumah jiran musnah akibat letupan bom.

"Menyedari kejadian ngeri itu, saya lari dan anggota tentera melepaskan tembakan dan terkena pada kaki kiri, namun saya terus berlari dalam gelap sejauh dua kilometer untuk menyelamatkan diri," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Pemuda terbabit mendakwa, penduduk kampung melihat sekumpulan anggota tentera digerakkan keluar dari kampung itu dengan helikopter kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, pergerakan tentera keluar dari kawasan itu menambahkan kecurigaan penduduk dan percaya pasukan keselamatan yang mendalangi kejadian terbabit.

Jirannya yang berusia 33 pula berkata, dia bersama isteri dan dua anak sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi tembakan dan letupan bom terhadap rumah jiran, kira-kira tujuh meter dari rumahnya.

"Dua anak saya berusia lima tahun dan tujuh bulan turut terkejut apabila sebutir peluru tersasar memasuki rumah kami dan terkena pada cermin almari.

"Kami empat beranak berpelukan sambil berlindung di sebalik dinding kerana terlalu takut sehingga bunyi letupan berhenti selepas kira-kira 20 minit," katanya.

Dia yang juga bekerja sebagai penoreh getah itu berkata, kira-kira jam 2.30 pagi, semua penduduk keluar beramai-ramai meninjau sekitar rumah jirannya sebelum menemui sembilan mayat termasuk kanak-kanak mati akibat tembakan tepat di kepala.

"Saya sedih dan marah melihat mereka tergamak membunuh lima anak perempuan jiran saya, berusia 14 hingga 22 tahun dengan menembak mereka di kepala," katanya.

Seorang lagi jirannya berusia 22, berkata ketika kejadian seluruh ahli keluarganya sedang tidur.

"Tiga adik serta seorang sepupu saya berusia 14 hingga 22 tahun tidur di tingkat atas, manakala saya dan ibu bapa tidur dalam bilik berasingan di tingkat bawah.

"Secara tiba-tiba, kami dikejutkan letupan bom, tiga adik dan sepupu saya cedera parah akibat letupan bom yang dipasang di tepi rumah," katanya yang terselamat bersama ibu bapanya.


0 Comments:

Post a Comment