Khamis, November 17, 2005

Wednesday, November 16 @ 17:07:47 MYT
KOTA BHARU, 16 Nov (Hrkh) – Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia pada bila-bila masa sahaja berdebat dengan ‘ustaz’ Umno mengenai isu dosa dan pahala. “Saya merakam ucapan terima kasih banyak kepada pemimpin terbabit yang sanggup hendak berdebat. Dosa dan pahala itu bukan kerja kebangsaan tetapi kerja agama. Ia bukan istilah sains atau kebangsaan tetapi adalah istilah agama. “Macam mana Umno boleh berdebat soal dosa dan pahala kerana fahaman itu tidak ada di dalam agenda perjuangan kebangsaan,” katanya ketika ditemui di sini. Sebelum ini, penceramah Umno, Dato’ Mustapa Taib dilaporkan berkata, pemimpin Umno berlatar belakangkan agama sedia berdebat dengan pemimpin PAS di pentas terbuka berhubung isu mengundi PAS mendapat pahala. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS merakamkan ucapan terima kasih kepada penceramah Umno itu kalau benar-benar beliau mahu berdebat. Sedangkan katanya, ketika muktamar lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah mengajak pemimpin Umno berdebat mengenai isu orang Melayu dan surat mengenai pelawaan itu sudah dihantar. Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak awal-awal lagi menjawab tidak mahu debat diadakan dengan bermacam-macam alasan diberi termasuk kononnya PAS menipu. “Kita mahu Presiden PAS debat dengan Presiden Umno, timbalan presiden debat sama timbalan presiden. Bila-bila masa sahaja saya juga bersedia, tidak kira di mana sekali pun. Hendak di depan orang ramai atau secara perseorangan atau secara tertutup pun boleh,” ujarnya. - mJ

0 Comments:

Post a Comment