Sabtu, November 19, 2005

Naib Presiden PAS Haji Husam Musa menafikan desas-desus kononnya wujud pakatan antara PAS dengan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas yang telah dipecat Datuk Ibrahim Ali bagi memecahkan undi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
Ibrahim telah mengisytiharkan secara rasmi untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil itu. "Ibrahim Ali tiada kena mengena dengan kita. Soal bertanding sebagai calon bebas itu hal dia," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.
Husam (foto) yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi berkenaaan walaupun Ibrahim jika tidak bertanding kerana selain wujudnya kerjasama dengan Keadilan, PAS mendapat sokongan padu daripada pengundi, walaupun calon PAS, Allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaffar hanya memperolehi kelebihan 56 undi pada pilihanraya umum 2004.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Wan Abdul Aziz pada 31 Oktober lalu. Penamaan calon bagi pilihanraya kecil itu ditetapkan pada 27 Nov dan pengundian pada 6 Disember jika ada pertandingan.
Anwar turut berkempen
Lagipun, kata Husam, segala keperluan asas penduduk Pengkalan Pasir, termasuk sistem perparitan, jalanraya dan jejambat menyeberangi landasan keretapi Pasir Mas telah dilaksanakan atau dalam perancangan kerajaan negeri.
Sebelum itu, beliau yang juga ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Keadilan Saifuddin Nasution, dipercayai mengenai perancangan strategi kempen itu.
Husam juga menganggap pilihanraya kecil Pengkalan Pasir sebagai medan terbaik bagi memantapkan lagi kerjasamanya dengan parti Keadilan.
Katanya, persepakatan telah tercapai antara kedua-dua parti untuk sama-sama mengatur strategi kempen bagi memastikan PAS terus mengekalkan kerusi dewan undangan negeri itu.
Husam juga mengesahkan bahawa penasihat Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai kepimpinan PAS dari seluruh negara untuk berkempen bagi calon PAS.
Katanya Anwar akan mula berada di kawasan pilihanraya itu pada 27 November (hari penamaan calon) dan akan mengadakan beberapa siri ceramah.
Selain itu, beberapa pemimpin Keadilan termasuk Saifuddin telah berada di Pengkalan Pasir dan bilik operasi parti itu juga sudah beroperasi.

0 Comments:

Post a Comment