Sabtu, November 26, 2005

Majlis pengisytiharan yang cukup bersejarah itu diadakan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas dilakukan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
PASIR MAS, 26 Nov (Hrkh) - Haji Hanifa Ahmad, 59 atau lebih mesra sebagai ‘Abang Par’ diisytihar mewakili PAS bertanding pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung, Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan.
Ribuan hadir pada majlis berkenaan sehingga dalam dewan penuh sesak,di luar dewan orang ramai bersesak-sesak sehingga ke jalan raya.
Hanifa sebelum ini pada 1978 hingga 1982 pernah menjadi wakil rakyat di DUN Meranti. Ketika itu juga beliau adalah anggota Exco kerajaan negeri yang mempengerusikan jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pentadbiran Awam.
Dilahirkan di Kampung Kubang Bemban pada 8 Ogos 1946, dari keluarga pengasas PAS di Pasir Mas. Begitu juga di sebelah isterinya, Hajah Zaharah Rosminah Amaluddin, 56. Bapa mertuanya, Amaluddin Darus juga pengasas di Kelantan. Seorang tokoh perjuangan Islam yang tidak asing lagi dikenali kawan dan lawan.
Sekarang Abang Par dinobatkan kembali untuk menduduki tempat lama yang sudah menjadi sedarah sedaging dengan keluarganya. Abangnya Daud Yatimee juga seorang bekas wakil rakyat. Begitu juga bapanya, Ahmad Daud.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim, kemudian melanjut pengajian ke Kolej Cima di Kuala Lumpur dan meneruskan pendidikan tinggi di Universiti Malaya, mendapat BA Hons.
Selepas itu menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir diplomatik. Jawatannya yang pertama sebagai Penolong Pegawai Daerah Temerloh pada 1972. Kemudian bertukar sebagai pegawai pembangunan di Negeri Sembilan, Penolong Pengarah di Jabatan Perdana Menteri.
Pada 1969 – 1978 beliau juga sebagai ahli sosiologis bagi perunding Enex of New Zealand yang membuat kajian berkaitan Kelantan River Base Study. Pada 1982 – 1990 menjalankan perniagaan sendiri di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun menyertai Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) pada 1991 dengan berkhidmat sebagai Pengurus Besar KBC Sdn Bhd, kemudian sebagai Pengurus Besar Damai Sdn Bhd dan pada 1999 hingga 2001 dilantik Timbalan Ketua Eksekutif PKINK.
Pada 2001 sehingga 23 November lalu menerajui PKINK sebagai Ketua Eksekutif. Ketika di bawah teraju anak-anak syarikat PKINK berjaya mencatat keuntungan, di mana unjuran keuntungan bersih sebelum cukai tahun dianggar sebanyak RM33.58 juta.
Manakala penglibatan dengan parti bermula sejak awal lagi, di mana pada 1991 – 1993 sebagai anggota jawatankuasa PAS kawasan Pasir Mas, Ketua Penerangan kawasan (1993 – 1995), setiausaha (1995 – 2001) dan sekarang sebagai anggota jawatankuasa PAS kawasan berkenaan.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Ugama (Arab) Ismailiah, Pohon Buluh. Kini rakyat di Pengkalan Pasir cukup beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang mesra rakyat, berpengalaman dalam pelbagai bidang dan penuh dedikasi.
- mJ

0 Comments:

Post a Comment