Ahad, Oktober 30, 2005

“Pemuda PAS amat kesal di atas keputusan tersebut kerana ia adalah satu kesilapan yang Abdullah lakukan setelah banyak suara yang padu khasnya daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menentang penyenaraian tersebut"

Oleh ROY RASUL
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya TH Plantations menerus penyenaraiannya ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dilihat sebagai tidak menghormati pandangan pelbagai pihak terutamanya Ahli-ahli Parlimen kata, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, keputusan tersebut menunjukkan Abdullah lupa terhadap pengalaman-pengalaman yang dilalui banyak syarikat atau Perbadanan Negeri lain contohnya Lembaga Kemajuan Pertanian Negeri Pahang yang kehilangan majoriti ekuitinya setelah diapungkan di BSKL.
“Pemuda PAS amat kesal di atas keputusan tersebut kerana ia adalah satu kesilapan yang Abdullah lakukan setelah banyak suara yang padu khasnya daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menentang penyenaraian tersebut,” katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Justeru itu, beliau meminta Perdana Menteri mengkaji balik perkara tersebut memandangkan ia melibatkan kepentingan yang sangat besar terutamanya daripada umat Islam negara ini.
Katanya, beliau tidak nampak anak syarikat Tabung Haji itu dikatakan akan lebih berdaya saing setelah disenarai kerana dakwanya selama ini pun menunjukkan kemampuan untuk terus berdaya saing biarpun tidak disenaraikan.
Tambahan pula katanya, TH Plantation memiliki capital yang kukuh dan kerana itu katanya, apa yang perlu ditingkatkan adalah mutu pengurusan dan pelaburan bukannya disenaraikan di BSKL.
“Apa jaminan kerajaan apabila ke BSKL nanti ia tidak berdaya saing dan maju seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat perkembangan tersebut secara dekat dan sebarang tindakan yang merugikan rakyat perlu diambil tindakan secara drastik.
Sementara itu, media tempatan hari ini melaporkan bahawa Abdullah memberi lampu hijau supaya cadangan TH Plantation diteruskan.
Ini dakwanya langkah penyenaraian tersebut mampu meningkatkan keupayaan operasi TH Plantation bagi membolehkan ia bersaing dengan syarikat-syarikat terbaik dalam sektor itu. - mks.

0 Comments:

Post a Comment