Isnin, Oktober 10, 2005

KOTA BHARU, 9 Okt (Hrkh) – Barisan Adun pembangkang di DUN Kelantan tercengang apabila Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS – Pasir Tumbuh) memberitahu jasa kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama sekarang menjelaskan lebih RM700 juta hutang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum itu, Mohd Zain Ismail (BN – Bukit Tuku) membilang satu persatu jasa-jasa Menteri Besar sebelum ini termasuk Tan Sri Mohamed Yaakub yang boleh dilihat sekarang.

Katanya, kerajaan BN sebelum ini membina kompleks Kota Darulnaim, Balai Islam dan banyak lagi prasarana lain, sedangkan sekarang hanya kelihatan rehal sahaja yang dibina kerajaan PAS.

Beliau juga dengan megah mempertikaikan bajet Kelantan 2006 yang dianggap tidak berkesan, namun di akhir pembahasan menyokong belanjawan tersebut.

Adun BN itu turut menganggap Dasar Membangun Bersama Islam tidak berkesan. “Bagaimanapun kalau hendak perintah sampai 100 tahun lagi pun tak apa, tetapi dengan syarat mempunyai hala tuju yang jelas,” ujarnya.

Sejurus selepas itu ketika mengambil bahagian membahas bajet 2006 Ahmad Baihaki berkata, kebijaksanaan yang ada pada kerajaan di bawah kepemimpinan ulama iaitu menjelas segala hutang ditinggalkan kerajaan BN.

Selepas itu Adun Bukit Tuku bangkit lagi dengan mempertikaikan peranan ulama sebagai ketua kerajaan negeri sekarang yang dianggap tidak cekap mentadbir dan hanya layak mengajar agama sahaja.

Kemudian bangun Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS – Chetok) yang menjelaskan sambil membaca ayat-ayat al Quran dan mengimbau sejarah kerajaan Khulafah al Rasyidin juga di kalangan ulama.

Adun Pasir Tumbuh berkata, apa gunanya melantik orang yang bijak namun terbabit dengan gejala rasuah sehingga ada yang digantung keahliannya. Beliau juga berkata, rakyat Kelantan memang bijak membuat pilihan biar pun diugut dengan pelbagai perkara termasuk sekatan bantuan ‘one off’ dan buku teks sekolah.

Ketika beliau berhujah mengenai Islam Hadhari yang dikutip daripada tulisan Dr Yusof Qardawi di mana katanya, penamaan Islam dengan istilah hadhari harus ditolak, menyebabkan Dato’ Annuar Musa (BN – Kok Lanas) bangun dan mengatakan mengapa PAS dan MPKB juga menggunakan nama Islam.

Ahmad Baihaki berkata, perkara itu perlu dilihat dari konteks yang berlainan dan tidak sama dengan Islam Hadhari yang kini dianggap satu kefahaman baru.

“Kalau tidak mahu dijadikan kefahaman secara menyeluruh mengapa pula dibuat seminar di merata tempat sekarang,” katanya.

Penjelasan itu menyebabkan Annuar bangkit berkali-kali dan menganggap punca kekeliruan yang berlaku di kalangan umat sekarang setelah PAS diwujudkan menggunakan perkataan Islam. Malah katanya, tanpa ada PAS pun rakyat Malaysia faham mengenai Islam.

“PAS diwujudkan kerana pada peringkat awal Umno tidak mahu kepada Islam, sehingga menyebabkan ulama ketika itu menubuh parti Islam bagi memperjuangkan agama tersebut.

“Dan sekiranya Umno jelas mahu memperjuangkan Islam sepenuhnya, maka tidak ada sebab lagi PAS diwujudkan. Bagaimanapun sekarang PAS tetap dengan perjuangannya kerana Umno tidak mahu kepada Islam,” kata Ahmad Baihaki.

Adun Pasir Tumbuh juga mencadangkan supaya Yayasan Islam Kelantan mewujudkan sekolah rendah Islam bestari bagi melengkapkan lagi sistem pendidikan agama di negeri ini.
- mJ

0 Comments:

Post a Comment