Jumaat, Oktober 14, 2005

Oleh Wajdi Mayusoh
KOTA BHARU, 13 Okt (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Zulkifli Mamat berkata, kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan ulama sentiasa menerajui perubahan yang berteraskan acuan Islam.

"Kita berhasrat menjadikan corak pentadbiran Islam yang diamalkan di Kelantan sekarang sebagai model kepada negeri lain, malah sehingga ke peringkat Pusat," katanya pada taklimat penubuhan Pupuk Nilai Murni Berhad kepada usahawan, Penyelia DUN dan badan bukan kerajaan, di sini, semalam.
Beliau berkata, Pupuk Nilai Murni Berhad merupakan sebuah badan yang menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan program latihan. Antara objektif penubuhannya meningkatkan tahap keusahawanan dan kemajuan ekonomi rakyat, membentuk akhlak baik dan kesedaran kepentingan pembinaan tamadun.
"Ia merupakan sebuah syarikat Berhad menurut jaminan (non-profit organization), iaitu keuntungan syarikat tidak akan dibolot atau dimiliki oleh pengarah, tetapi keuntungan akan digunakan bagi membantu rakyat,"ujarnya.
Tambah beliau, aktiviti utama penubuhan syarikat itu adalah menjalankan program, latihan atau bantuan bagi membolehkan rakyat berdikari memajukan ekonomi mereka.
Pupuk Nilai Murni Berhad terbuka keahliannya kepada semua rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama. Pelancarannya akan disempurnakan Menteri Besar pada 24 Oktober ini di Hotel Perdana.
Sementara itu Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat berharap Pupuk Nilai Murni Berhad berperanan sebagai payung kepada peniaga dan usahawan Kelantan.
"Saya juga berharap badan ini akan dapat memberikan kursus dan latihan kepada ahli lembaga pengarah itu sendiri dan lain-lain pihak yang terlibat," ujarnya.
Pengusaha batik, Syafie Mamat berkata, di Kelantan terdapat banyak produk yang boleh diketengahkan, namun masalahnya tidak ada kemahiran untuk memajukannya.
Turut hadir di majlis berkenaan, anggota Exco, Abdul Patah Mahmod, Adun Salor, Buni Amin Hamzah, Penyelia-penyelia DUN, Parlimen, NGO dan usahawan tempatan.
- /mj

0 Comments:

Post a Comment