Ahad, Oktober 09, 2005

Bahaya Islam Liberal

Islam liberal amat membahayakan umat Islam kerana ajaran ini menggalakkan kita menggunakan akal fikiran. Inilah bahaya paling besar yang didatangkan oleh satu ajaran yang bernama Islam liberal, kononnya untuk membuka dan membebaskan minda umat Islam, tetapi sebenarnya mahu merosakkan fahaman nenek moyang kita yang telah memastikan bahawa Islam itu addin yang lengkap lagi syumul.

Kesyumulan Islam tak perlu ditambah-tambah lagi dengan perkataan liberal, hadhari, tanwiri, tulen, sebenar atau apa-apa lagi – Islam itu sempurna dan tak perlu lagi akal fikiran kita untuk memperbaiki apa yang telah lengkap.

Islam itu sempurna walaupun kita di sini bermahzab Syafi’i dari aliran Sunni yang berpecah dari mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki. Islam itu lengkap dan tak perlu ditokok tambah walaupun mahzab kita di sini berpecah dan ada kalanya bertentangan dengan Salafi dan Wahabi. Dan Islam itu lengkap di sini sehinggakan kita menolak aliran sufi melalui tasawuf mereka dianggap ajaran sesat - hukumannya dibubarkan tarikat mereka dan dipenjarakan pemimpin mereka.

Begitu lengkap dan sempurnanya Islam yang kita pegang sehinggakan kita bermusuhan dengan puak Syiah yang sehingga hari ini enggan menerima kedaulatan dan kesahihan pemerintahan khulafa arrasyidin Abu Bakar As-Sidiq, Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan. Di banyak tempat seperti di Pakistan dan Iraq, umat Islam berbeza mazhab saling sembelih-menyembelih antara satu sama lain.

Betapa syumulnya ajaran Islam yang diterima oleh semua umat Islam yang hari ini begitu berpecah kepada beratus-ratus puak dan kepercayaan; dan ini tidak termasuk ajaran Islam liberal dan sederhana yang kita lihat sedang cuba menyesatkan umat Islam dengan menyuruh kita menggunakan akal fikiran sendiri.

Bayangkan betapa hancurnya perjuangan jihad di Iraq hari ini yang telah berjaya membunuh ribuan rakyat Iraq sendiri jika akal fikiran digunakan untuk menilai sama ada yang dikatakan jihad ini sebenarnya wajib atau kebodohan yang amat sangat. Pasti gagal perjuangan Osama bin Laden dan konco-konconya yang dahagakan darah manusia, sama ada orang Islam atau kafir, jika Islam liberal dan sederhana membolehkan kita umat Islam berfikir sejenak untuk mengatakan serangan bunuh diri oleh pejuang jihad ini adalah kejam, zalim dan berdosa.

Maka dengan itu, kita mesti memastikan Islam liberal tidak boleh mempengaruhi pemikiran umat Islam kerana ajaran ini akan menjadikan umat Islam boleh berfikir secara bebas tanpa cengkaman dari pakar-pakar hukum fiqh dan usuluddin, yang biasanya menganggap kebebasan, hak asasi dan demokrasi itu sebagai racun kepada tamadun Islam.

Oleh itu, kita sebagai pemegang panji-panji Islam syumul serba lengkap yang berasaskan tafsiran tok guru ugama abad ketujuh masihi harus mencari apa sahaja jalan untuk menghancurkan gerakan Islam liberal. Tak kira sama pembohongan atau penipuan kerana kita yakin muslihat adalah dibenarkan oleh Tuhan untuk menghancurkan musuh.

Dengan itu kita mesti memperhebatkan kempen propaganda bahawa Islam liberal itu ciptaan Yahudi yang berniat menghancurkan Islam, walaupun kita tahu Yahudi tidak ada masa untuk perkara yang remeh sebegini kerana mereka mempunyai konspirasi yang lebih besar untuk menguasai dunia.

Walaupun bilangan orang Yahudi di dunia ini amat kecil berbanding kaum-kaum lain, kita mesti memburuk-burukkan Yahudi kerana tanpa Yahudi, sukar bagi kita untuk mencari musuh yang benar-benar jahat. Sama ada orang Yahudi itu telah banyak berjasa kepada umat manusia melalui sumbangan mereka di arena ilmu, mereka adalah musuh yang paling kita benci. Walaupun seseorang Yahudi itu menolong, membantu atau menyelamatkan umat Islam dari apa segi pun, kita mesti berusaha menghancurkan mereka, walaupun kita tidak punya banyak bukti untuk mendakwa bahawa mereka cuba menghancurkan Islam.

Kita juga mesti menyalahkan Kristian di Barat yang mencipta Islam liberal untuk melemahkan jihad umat Islam walaupun kita tahu teori ini bertentangan dengan teori Yahudi tadi kerana Yahudi dan Kristian sepatutnya bermusuh sesama sendiri. Tapi tak apa, biar pun andaian ini tidak masuk akal (ingat, akal tidak penting dalam Islam) kita harus katakan bahawa Yahudi dan Kristian, walaupun bermusuh, kini sanggup bekerjasama untuk menghancurkan Islam.

Buktinya? Kita katakan bahawa lihat saja negara Kristian seperti Amerika Syarikat (walaupun perlembagaan Amerika itu sekular dan sekularisme diamalkan dalam bidang pentadbiran, pendidikan dan apa-apa sahaja yang dianggap awam) yang sanggup membela Israel yang menjadi negara kepada orang Yahudi. Biarpun Israel itu satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi, dan hampir semua negara Arab bersifat diktator dan kuku besi , kita wajib menyokong kepimpinan Arab yang menindas rakyat Arab kerana kita saudara seagama.

Walaupun kita juga tahu Kristian di Eropah lebih bersimpati dengan orang Arab dan Islam di Palestin berbanding sokongan mereka kepada Yahudi di Israel, hal ini tidak diketahui oleh kebanyakan umat Islam. Jadi kita mesti diamkan isu ini supaya umat Islam tidak keliru dengan masalah dunia yang kompleks dan rumit. Lagipun umat Islam tidak perlu menggunakan akal fikiran untuk menangani isu-isu rumit seperti ini kerana Tuhan sudah tahu apa yang baik dan buruk untuk mereka.

Akhir sekali kita mesti menyerang habis-habisan Islam liberal kerana jika dibiarkan ia akan menang, dan apabila ia menang, hancurlah perjuangan Islam sebenar kerana buat pertama kali umat Islam akan menggunakan otak fikirannya sendiri untuk mentafsir segala-galanya termasuk soal-soal agama. Ini mesti dihalang secara bersungguh-sungguh.

Ingatlah, apabila orang Kristian di Eropah pada abad ke-15 berani menggunakan akal, mereka mula mempertikaikan kedudukan gereja dan paderi. Kemudian apabila gereja dan paderi yang dikutuk itu mula berundur, orang Kristian menggunakan akal fikiran rasional mereka pula untuk mempertikaian isi agama mereka sendiri. Akhirnya agama Kristian dikritik hebat sehingga hari ini, sehinggakan orang Kristian turut menerima hakikat bahawa kebebasan dan akal fikiran adalah ciptaan Tuhan untuk diguna pakai sepenuhnya-penuhnya kerana iman itu soal hati. Begitulah berakhirnya cengkaman pemerintahan addin di Eropah.

Kita tidak mahu tragedi yang sama menimpa Islam. Agama kita yang serba lengkap dan tak perlu dicerahkan lagi ini sudah cukup syumul. Asalkan umat Islam tidak mempersoalkan undang-undang syariah, ulamak-ulamak kita atau apa saja yang kita sudah dicap sebagai Islam, kita boleh berbicara mengenai Islam dalam ruang yang sempit ini.

Kita tidak menghalang perdebatan mengenai Islam asalkan jangan disentuh mengenai kesucian dan kebesaran Islam, Tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w, para rasul, para nabi, para sahabat, para ulamak muktabar serta undang-undang Islam yang berasaskan Al-Quran yang dijelaskan oleh Sunnah serta dijamin kebenarannya melalui tafsiran dan ijmak ulamak, dan juga qiyas-qiyas yang telah ditetapkan lebih 1,000 tahun dahulu oleh ulamak-ulamak besar yang tak sepatutnya dipertikaikan oleh kita yang tak seberapa ilmunya pada masa ini.

Biarpun kita di zaman moden telah berjaya mencipta alat-alat yang memudah serta memakmurkan hidup di samping menjaga kesihatan dan memerangi penyakit serta kemiskinan, kita masih bodoh dan jahil berbanding ulamak-ulamak zaman dahulu kala yang begitu dahsyat ilmu hukum agama mereka. Jika mereka katakan sesuatu hukum itu melibatkan rejam dengan batu sampai mati, potong tangan atau kaki, atau apa sahaja yang kononnya akal Islam liberal mengatakan kejam dan zalim, kita tetap harus menerimanya bulat-bulat.

Itulah fungsi akal fikiran ciptaan Tuhan untuk umat Islam, iaitu menggunakan untuk mematuhi segala hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh ulamak-ulamak zaman nenek moyang kita dahulu kerana mereka pastinya golongan bijaksana yang betul-betul memahami dan menghayati ajaran-ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Kita belajar macam mana tinggi pun tak akan tercapai tahap kebijaksanaan mereka.

Oleh itu sedarlah bahawa Islam liberal dan sederhana amat berbahaya kerana ia menggalakkan umat Islam menggunakan akal fikiran sendiri untuk berfikir. Apabila akal dipakai, hancur luluh segala kepercayaan yang kita pegang sejak zaman-berzaman.

Artikel ini diambil daripada jalantelawi.com

0 Comments:

Post a Comment