Khamis, September 29, 2005

Oleh: Tun Paduka Tuan

Jika tidak ada aral merintang dan tentunya dengan takdir Allah s.w.t. juga, malam lusa, 30 September kemudian diikuti pada 1 September (berturut-turut) maka akan berlangsunglah apa yang dinamakan Konsert Tautan Kasih di Padang Perdana Kota Bharu Kelantan dan konsert sempena pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam.

Kasih siapa dan cinta siapa hendak ditautkan, serta untuk apa, Wallahualam! Cuma di dalam majlis itu khabarnya diundang sama orang-orang yang kurang sihat anggota, alias cacat untuk turut sama berkonsert dan berhibur. Barang kali mereka yang buta dan tuli juga ada sama. Mereka akan berkongsi – si buta akan menceritakan kelunakan suara penghibur kepada sipekak, sementara sipekak pula akan menceritakan telatah penghibur di pentas kepada si buta.

Penglibatan manusia kurang upaya itu, untuk diberikan hiburan, adalah sebagai tanda simpati, prihatin dan juga kepekaan tinggi pihak penganjur. Bahawa orang cacat perlu dilayan, diberikan keperluan zahir dan batin secukupnya. Mereka perlu dibantu jiwanya, demi meneruskan kehidupan ini. Budi dan ingatan yang baik itu mudah-mudahan akan dinilai di atas mirzam keadilan di akhirat kelak.

Pada majlis konsert Tautan Kasih, kemuncaknya ialah kehadiran pemenang Akademi Fantasia (AF) 3 yang menjadi sanjungan dan kegilaan dewasa ini. Di sini kita tidak mahu mempersoalkan lagi mengenai kontroversi pemergian artis itu ke negeri tadahan wahyu itu sehingga mengheret dua orang ulama muktabar di dalam Pas bersabung mulut. Itu terserah kepada kedua sang ulama itu.

Sebab ulama ini diikhtirafkan sebagai insan yang alim dan waruk. Mempunyai kitab, petikan hadith dan juga pandangan (teologi) sendiri berlandaskan kepada keilmuan masing-masing. Apa lagi ulama di zaman sekarang ini petah dan licik di dalam mencari hujah untuk membalas hujah. Ada kalanya hujah yang dipertahankan itu bukan sangat di atas kepentingan umum, melainkan demi mempertahankan ego sendiri.

Kita serahkan soal serabut-menyerabut itu kepada ulama-ulama berkenaan.

Secara mutlak, bahawa konsert dan juga hiburan sesuatu yang menjadi buruan nafsu di dalam kehidupan. Ia dituntut dan harus dipenuhi. Bila untuk menegakkan keperluan ini maka Rasulullah pun diheret sama kononnya baginda juga turut berhibur. Hiburan macam mana? Ingin kita ajukan persoalan, benar hiburan itu diperlu, tetapi apakah ia terkhusus kepada konsert atau nyanyi-nyanyian sahaja?

Jika begitu kenalah kerajaan Kelantan mengadakan konsert berkenaan. Menghiburkan mereka yang cacat dan juga yang sihat. Melowongkan satu dimensi baru dalam bidang hiburan di Kelantan. Demikian juga, konsert pada 1 Oktober di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu sebagai menyambut pengisytiharan rasmi Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam.

Tidak mengapalah walaupun ciri-ciri Islam belum terserlah, tetapi pengisytiharan itu sebagai mencampakkan biji benih. Apa lagi memang menjadi kesukaan orang politik menguar-uarkan sesuatu perkara itu lebih awal. Ada kalanya yang diuar-uarkan itu tidak menjadi kenyataan pun akhirnya. Barangkali demikianlah ‘sunnah’ orang politik.

Tidak mengapa juga sebab mereka akan ada hadith, ada ayat-ayat al-Quran untuk menjawabnya dan dijadikan sandaran bagi menghalalkan tindakan mereka. Selalunya pula orang kita bila mendengar ayat-ayat Quran akan mudah lena dan tanpa bahas lagi. Seolah-olah ayat-ayat yang dibaca itu menjadi kunci kepada persoalan sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Mungkin mereka akan berkata tidak mengapa menguar-uarkan sesuatu yang baik. Sebab, kalau tidak jadi, tidak berdosa, tetapi pahala niat tetap sudah ada. Apakah kita ini boleh hidup dan cukup dengan niat sahaja? Makan angin dan asap!?

Adapun di sini apa yang hendak dipesankan ialah kepada pihak penganjur kedua-dua konsert berkenaan. Ada beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian demi menjaya dan juga menjadikan konsert berkenaan tidak mendatangkan masalah. Peringatan ini adalah sebenarnya kepada mereka yang sudah tahu lagi arif. Tapi atas sifat manusia itu lemah maka ia perlu diperingatkan berulang-ulang kali.

Tuhan sendiri mengingatkan hambaNya berkali-kali. Sebabnya Dia sudah tahu sebagai makhluk yang tidak sempurna (dijadikan daripada tanah hitam lagi hanyir) manusia sering kali lupa dan lalai. Atas ‘juh’ itu jugalah saya ingin berpesan kepada pihak penganjur berhubung konsert berkenaan.

Ada pun perkara yang perlu diingat dan ditekankan ialah mengenai keselamatan konsert berkenaan. Hendaknya konsert itu dijaga agar berjalan dalam suasana aman, teratur dan penuh sopan santun sesuai ia berlangsung tempat yang bakal diisytiharkan sebagai Bandaraya Islam.

Pastikan tidak akan ada percampuran di antara lelaki dengan perempuan. Kalau pun pengasingan tidak ada, pastikan konsert itu tertib dan bukan berlaku seperti di konsert-konsert lain di luar Kelantan.

Mungkin boleh dibenarkan jerit menjerit atau bersorak, tetapi jangan keterlaluan. Harus difahami yang hadir adalah anak-anak muda yang otaknya belum penuh. Mereka datang selain hendak mendengar suara penyanyi pujaan mereka, mereka hendak lihat dari dekat wajah penyanyi kesayangan mereka. Tentunya harapan lebih jauh dari itu ingin menyentuhnya,

Lagak anak muda ini samalah dengan lagak orang tua yang taksub atau terpesona dengan tok-tok guru. Mereka akan kerumun dan berasak-asak untuk bersalaman dengan tok-tok guru di mana juga.

Kalau orang tua nak bersalaman dengan tok-tok guru kerana nak dapatkan berkat, begitu juga dengan remaja, mereka nak bersalaman dengan artis kerana hendak mendapat autograf. Bagi mereka autograf adalah sama seperti sepotong doa yang diberikan ulama atau maha guru kepada orang yang taksub kepadanya.

Keadaan ini jangan biarkan kelam kabut. Pihak penganjur hendaklah menjaga suasana ini. Bukan apa demi untuk menghormati Kota Bharu sebagai bandaraya Islam. Islam itu teratur dan sopan. Kalau ianya sama dengan apa yang berlaku ditempat lain, maka KB dengan tempat lain dua kali lima sahaja. Maka janganla orang di Kota Bharu menuduh konsert di luar tidak islamik pula.

Selain itu kawalan keselamatan kepada mereka yang hadir juga kena ketat. Kalau target 100,000 pengunjung itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu masalah. Kemungkinan yang patut disendakkan di kepalanya ialah akan adanya perbuatan sabotaj oleh musuh kerajaan Pas. Tidak mustahil musuh yang sentiasa mencari peluang akan mengambil kesempatan ini. Kena jaga hal ini jangan sampai berlaku.

Apa-apa boleh berlaku di dalam khalayak yang ramai begitu. Dan kena ingat musuh masuk dengan segala kelengkapan yang canggih. Mereka bukan masuk tangan kosong. Kita bimbang kalau berlaku sabotaj atau pengkhianatan, maka tujuan murni konsert itu akan bertukar menjadi benda lain. Kala inilah nanti kesalan sudah tidak berguna lagi.

Bagaimana pun kita percaya dan mengharap ia akan menjadi kenyataan. Sepatah kata MB Besar Kelantan, negeri Kelantan akan selamat selagi ianya dijagai oleh ulama! Atas kata-kata yang berbau sedikit ego itu, kita harapkan Kelantan akan selamat dan konsert itu akan berjaya dan berjalan dalam suasana aman dan membawa natijah yang tersurat dan juga yang tersirat! - Reformasi.

0 Comments:

Post a Comment