Jumaat, September 30, 2005

Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Mat
Kenyataan Bush yang mula 'menyalahkan Tuhan kerana membenarkan bencana (Katrina) berlaku' (Berita Harian 24/9/2005) langsung tidak mengejutkan. Orang sekular akan sentiasa mencabar kuasa Tuhan walau dimana-mana. Tidak puas menyalahkan Datuk Bandar New Orleans dan kemudian penduduknya, kini Bush maju setapak lagi. Walaupun setiap perlantikan Presiden baru Amerika dan perbicaraan di mahkamah di negara itu dibuat dengan ikrar diatas Kitab Injil manakala di atas setiap helai dollarnya ada tertulis perkataan (In god we trust), namun sifat sekular Bush mengatasi segala ikrar Amerika Syarikat mengenai Tuhan dan agama. Inilah kelaziman perangai pemimpin sekular walaupun dimana. Erti Tuhan yang samar-samar ini pulalah yang meracuni dan mempengaruhi setiap tindak tanduk beliau, pemimpin bukan Islam atau pemimpin Islam yang berfahaman sekular diserata dunia. Martabat Tuhan dan fungsi agama cuma difahami mereka dengan samar-samar.

Ini berpunca dari fahaman keliru mengenai Tuhan yang kononnya berkongsi kuasa antara Tuhan itu sendiri, Nabi Isa alaihissalam dan Siti Maryam yang menjadi ibunya. Adakah ini dari fahaman Allah S.W.T atau sebaliknya dari rekaan dan pandai-pandai pendita mereka? Jika kita merujuk Firman Allah yang sebenar, ia berbunyi, "Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam, padahal Al Masih (sendiri) berkata:

"Hai bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu” Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim (orang ini adalah orang-orang yang menzalimi diri sendiri) itu seorang penolongpun" (Surah Al Maidah Ayat 72)

Dari perkembangan ini, jangan terkejut jika terdengar pemimpin-pemimpin negara lain walaupun Islam (dilihat pada zahirnya) untuk meniru tuturkata Bush. Di negara kita sendiri pun, sudah ada orang mencanangkan bahawa semua malapetaka itu adalah bencana alam. Mereka cuba memutuskan hubungan alam dengan Pencipta Alam yang Maha Berkuasa dan sepatutnya menjadi “tempat bergantung segala sesuatu (Al Ikhlas Ayat 2).

Ini semua adalah bibit-bibit awal kearah meniru Bush disuatu ketika nantinya.

Jika kita tidak cermat, kita akan terpengaruh dengan kebiadaban Bush sedangkan Presiden Amerika yang bongkak ini meniru Firaun yang pernah menafikan adanya Tuhan. Beliau mengarahkan "hai Hamman, buatlah untuk ku menara yang besr/tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku benar-benar yakin dia termasuk orang-orang pendusta." (Surah Al Qashash Ayat 38). Walaupun Bush tidak menafikan adanya Tuhan tetapi Bush keliru dalam dua keadaan.

Pertama, sebagai seorang yang beragama Kristian nada Bush tidak jelas mengenai had kuasa Tuhan yang sebenarnya. Sebenarnya, Allah tidak pernah berkongsi kuasa dengan Maryam dan Isa sebagaimana yang diselewengkan kefahaman dalam konsep 'trinity' ketuhanan bersifat tiga dalam satu.

Kedua, kekeliruan amalan sekularnya yang memisahkan gereja dengan kaisar yakni pemerintah (dirinya) telah membawa beliau menyalahkan Tuhan. Sikap menyalahkan Tuhan ini berpunca dari sikap 'memakhlukkan' tuhan dalam satu faham persyarikatan kuasa dengan Isa dan Maryam yang karut marut hasil propaganda pendita Kristian.

Dalam konteks ini, Bush tidak syak lagi mengeluh terhadap Tuhan secara jahil. Dia tidak memahami sifat Jamal yang menyebabkan manusia tertarik kepada Allah dan sifat Jalal yang menyebabkan manusia takut/gerun kepada Allah. Sifat-sifat yang utama Allah tercantum kepada dua iaitu Jamal yang berkaitan dengan segala kurnia yang baik dan cantik dan Jalal yang berkaitan dengan hukuman kesombongan dan kebengisan.

Memahami Tuhan adalah memahami dalam 2 sifat-sifat utama ini. Sewaktu Amerika Syarikat dikurnia dengan kemakmuran rezki yang melimpah limpah, Allah S.W.T mengunakan segala sifat-sifatnya yang Jamal manakala sewaktu menghantar taufan Katrina dan Rita, Allah S.W.T menunjukkan wajah bengisnya (Al-Mutakabbir dan Al Muntaqim). Semuanya dari Allah SWT yang disebut Bush sekadar 'god'.

Jika Bush benar-benar beragama, berilmu, berperikemanusiaan dan tidak sekular, Bush tentu mengeluh bila melihat penderitaan di Afghanistan, Iraq dibom, Hiroshima, Nagasaki, Vietnam dan Korea Utara menjadi abu, serta umat Islam disembelih di Palestine, Kashmir, Sbra-Shatila dan Chechnya. Disebalik mengeluh, Bush terus menghalalkan keganasan.

Tidak syak lagi, bahawa disini beliau dan sekutu-sekutunya telah bersendiwara dengan pura-pura mahu memburu Al-Qaeeda dan Ben Laden. Kini apabila Amerika Syarikat diburu oleh angin puting beliung di New Orleans, Texas dan Florida dengan tenaga kelajuan 290 km sejam, Bush mula menyalahkan Tuhan. Selama ini, apa yang beliau lakukan untuk tidak membangkitkan kemurkaan Allah? Apabila Amerika Syarikat seakan-akan sudah dihalalkan untuk dimusnahkan oleh kuasa langit, kenapa perlu beliau cemas?.

Malah, kebongkakkan Bush yang menyalahgunakan kekuatan militer kuasa tunggal dunia inilah yang menghukum rakyatnya sendiri yang tidak berdosa di New Orleans, Texas, Lousiana dan Houston. Kini sudah 194 billion USD telah dibelanjakan untuk memulihkan kesan bencana Katrina. Terkini pula sudah lebih 2 juta penduduk meninggalkan kawasan pantai teluk dan Houston, bandaraya keempat terbesar. (Berita Harian 24/9/2005) di Amerika.

Saya sangat pasti yang Bush sudah kebingungan. Beliau sudah 'hysteria' kerana telah tenggelam dengan sifat 'mahakuasa' yang konon dimilikinya sebelum ini. Sikap mempersalahkan Tuhan dengan pertanyaan 'kenapa Tuhan membenarkan bencana itu berlaku' adalah langkah serampang 2 mata berniat jahat dengan 2 motif terselindung iaitu:

Pertama, ingin meninggalkan kesan seolah-olah samada Tuhan sudah tidak berkuasa lagi untuk menyekat bencana atau Kedua, ingin melahirkan kesan penolakan dihati manusia agar lebih jauh meninggalkan agama kerana 'Tuhan kini sudah zalim malah sudah tidak berfungsi lagi.' (waliya zubillah). Anehnya, disebalik mengaut sokongan, Bush berdepan dengan puluhan ribu penunjuk perasaan yang mendesak beliau meletak jawatan (Berita Harian 25 September 2005)

Walau apapun kemungkinan pertama atau kedua, Bush sudah nyata mengakui kelemahannya sebagai seorang manusia. Walaupun kamu Amerika, tetapi kamu masih seekor makhluk. Walau sebongkak mana sekalipun, jika Allah SWT campurtangan maka sesiapa pun terpaksa akur dan terpaksa tunduk berserah dan melutut kepada Nya.

Bush tidak faham bahawa kerajaan Amerika yang konon dikuasai beliau itu adalah sekelumit kecil dari kerajaan Allah yang Maha Luas. Jika Allah mahu bertindak, Dia berkuasa bertindak sendirian tanpa memerlukan sebarang penolong. Siri bencana dan malapetaka yang Allah SWT atur menimpa alam dari masa kesemasa adalah untuk mengejutkan para pemimpin dan umat manusia pada amnya.

Dan katakanlah : "Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempuyai sekutu dalam kerajaan Nya dan tidak mempunyai penolong (untuk menjaga Nya) dari kehinaan dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya." (Surah Al-Isra’ Ayat 111)

Rencana ini bertujuan untuk mengigatkan diri saya, seluruh pemimpin Islam dan Bukan Islam akan bahaya menolak Tuhan dalam pemerintahan. Allah berfirmman dengan maksud,

"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolong dan meneguhkan kedudukan mu".

"Dan orang-orang yang kafir maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka".

0 Comments:

Post a Comment