Jumaat, Januari 20, 2006

BACHOK: Pas akan menentang usaha mana-mana pihak yang mahu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan Mahkamah Sivil campur tangan dalam urusan serta keputusan Mahkamah Syariah di negara ini.
 

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada, sudah menjamin hak bukan Islam di negara ini.

“Isu yang timbul membabitkan pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohamad Abdullah yang memeluk Islam sebelum kematiannya, tiada kena mengena dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas meninjau kesan hakisan ombak di Pantai Irama, semalam.

Katanya, isu terbabit timbul berpunca masalah individu berkenaan saja, dan tidak memerlukan pindaan Perlembagaan yang boleh menimbulkan pelbagai masalah lain kelak.

"Samy Vellu sebut suami isteri tak tahu, tetapi isu ini timbul kerana sama ada Moorthy tidak beritahu (memeluk Islam) atau isterinya berbohong kepada masyarakat,” katanya.

"Hak bukan Islam sudah terjaga sejak sekian lama....boleh jadi Moorthy tidak beritahu isterinya atau isterinya tak ambil tahu hal suami. Ini bukan masalah pada perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kesan hakisan ombak kuat musim tengkujuh yang merosakan Pantai Irama dekat di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Md Anizam Abd Rahman.

Kelmarin, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, meminta kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan alasan bagi memelihara hak orang Bukan Islam di negara ini.

Kematian Moorthy atau Mohamad yang memeluk Islam menjadi kontroversi apabila status agama beliau dipertikaikan balunya, S Kaliammal, yang mendesak mayat suaminya diuruskan mengikut agama Hindu.

Keputusan Mahkamah Sivil tidak mencampuri urusan Mahkamah Syariah yang memperakukan Moorthy sebagai seorang muaalaf tanpa mendengar bantahan balunya mendapat reaksi negatif mengenai peraturan Islam yang diguna pakai di negara ini.

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan Mahkamah Sivil negara ini campur tangan dalam sebarang urusan dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syriah

Berikutan itu, beberapa pihak termasuk pertubuhan agama bukan Islam meminta kerajaan meminda Perlembagaan supaya Mahkamah Sivil boleh mendengar perkara mengenai Islam apabila ia membabitkan orang bukan Islam.

Meskipun apa jua alasan diberikan pihak terbabit, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, bertegas bahawa isu membabitkan Moorthy atau Mohamad berpunca daripada individu itu dan isterinya sahaja.

Katanya, langkah meminda Perlembagaan Persekutuan kerana isu terbabit mempunyai implikasi besar kerana boleh menimbulkan pelbagai masalah selepas ini.

0 Comments:

Post a Comment