Jumaat, Januari 20, 2006

Oleh: Rozmal Malakan
 
Terima kasih diucapkan kepada Samy Vellu dan menteri-menteri kabinet bukan Islam yang telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri yang meminta supaya artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memansuhkan kuasa Mahkamah Syariah.

Maklumat awal yang diterima di peringkat akar umbi umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini dari pelbagai lapisan fahaman politik telah mula menunjukkan kesatuan mereka agar kerajaan tidak melayan sebarang tuntutan pindaan perlembagaan.
 
Rata-rata orang UMNO, PAS, Keadilan, yang atas pagar, yang tidak berparti, yang mengikut tarekat, malah yang Happy Go Lucky menunjukkan kesepakatan mereka dalam isu mempertahankan perlembagaan sedia ada.

Jarang sekali sesuatu isu mendapat kesepakatan umat Islam terutama orang Melayu. Inilah perpaduan yang jarang-jarang sekali kita temui dikalangan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini.

Oleh yang demikian adalah diharapkan pemimpin-pemimpin Islam dan orang Melayu dipihak atasan dapat mencontohi kesepakatan yang ditunjukkan oleh golongan akar umbi
ini.

Apa yang penting ialah memberi kefahaman kepada bukan Islam mengenai perlembagaan dan hak-hak mereka bukannya meminda perlembagaan. Perpaduan kaum tidak akan tercapai hanya dengan meminda perlembagaan.

Terima kasih sekali lagi pada Samy Velu dan menteri kabinet bukan Islam yang telah menyatukan hati umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini, semuanya ini hanyalah dengan izin Allah swt. 

 Sudi-sudi layari blog saya di
waghih.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment