Sabtu, Januari 21, 2006

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Tujuh menteri -- empat dari MCA dan seorang masing-masing dari MIC, Gerakan dan Parti Bersatu Sabah -- hari Sabtu menarik balik memorandum bersama yang mereka kemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Rabu lepas.

Mereka ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting (MCA), Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy (MCA), Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (MCA), Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek (MCA), Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu (MIC), Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (Gerakan), dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Ongkili (PBS).

Ong, juga Presiden MCA dalam satu kenyataan berkata MCA serta pemimpin-pemimpin parti komponen lain Barisan Nasional tidak berniat mengenakan tekanan ke atas kerajaan dengan memorandum itu.

"Kami beri jaminan kepada PM bahawa kami tidak berniat mengenakan tekanan ke atas kerajaan tetapi untuk menyampaikan pandangan, rayuan dan keprihatinan orang bukan Islam. Sebagaimana dinasihatkan oleh PM, mengemukakan memo itu tidak sesuai dari segi prosedur. Berikutan nasihat beliau, kami telah menarik balik memo itu," kata kenyataan tersebut.

Parti itu, katanya, menyambut baik jaminan PM bahawa mereka akan meneruskan rundingan di Kabinet seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini dan memberikan input mengenai isu pertukaran agama.

"Kami setuju perlu ada perbincangan berterusan mengenai isu perundangan dan perlembagaan yang menyentuh hak bukan Islam. Kami penuh yakin terhadap kebijaksanaan PM dalam menyelesaikan isu," katanya dalam kenyataan yang ditandangani oleh empat menteri MCA.

Sementara itu, Samy Vellu yang juga Presiden MIC berkata partinya akan menarik balik memorandum bersama itu.

Ini berikutan nasihat Perdana Menteri kepada beberapa orang Menteri bukan Islam termasuk beliau yang berjumpa dengan PM pagi tadi.

"Kami amat menghargai nasihat serta pandangan Perdana Menteri dan akan akur dengan keputusan beliau," kata Samy Vellu dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata MIC juga mengalu-alukan nasihat Abdullah supaya isu itu di bincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata MIC amat yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dalam menangani isu tersebut.

Dr Lim, Presiden Gerakan berkata dalam kenyataannya bahawa memorandum itu bertujuan memberi input, pandangan dan keprihatinan orang bukan Islam kepada Perdana Menteri.

"Ini kerana isu itu sebenarnya telah dibincangkan di Kabinet beberapa minggu lepas. Banyak pendapat telah disampaikan. Kabinet memutuskan untuk menangguhkan perbahasan dan perbincangan, dan merujuk kepada Peguam Negara bagi melihat aspek perundangan dan membuat perakuan," tambahnya.

Yang demikian, kata Dr Lim memorandum itu bertujuan memberikan input selanjutnya secara lebih sistematik dan spesifik, tetapi secara sulit dan dengan niat yang baik.

"Ia tidak bertujuan mengenakan tekanan ke atas Perdana Menteri, dan tidak langsung sebagai ancaman kepada beliau," katanya.

"Selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, kami sedar ini tidak sesuai dari segi prosedur, terutama kini ia menjadi pengetahuan umum dan menimbulkan persepsi yang salah."

"Berikutan nasihat Perdana Menteri, kami memutuskan menarik balik memorandum itu. Bagaimanapun, bila perakuan Peguam Negara dibentangkan di Kabinet untuk perbincangan pada masa depan, kami akan mengemukakan pandangan dan perakuan kami ketika itu," kata Dr Lim.

0 Comments:

Post a Comment