Sabtu, Januari 07, 2006

PUTRAJAYA: Pengurusan Dindings Poultry Processing Sdn Bhd memberi jaminan untuk memastikan masalah berhubung kaedah pemprosesan ayam mengikut hukum syarak diatasi dengan panduan kumpulan pakar.
 

Sehubungan itu, syarikat pengeluar daging ayam proses berkenaan menubuhkan jawatankuasa halal dalaman bagi menyelamatkan pelaburan lebih RM50 juta syarikat itu berikutan penarikan balik sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap produk keluarannya.

Pengarah Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam Jakim, Che Hassan Pahmi Che Mamat, berkata pengurusan syarikat itu juga sudah mengenal pasti beberapa individu yang boleh membantu mereka berhubung proses penyembelihan mengikut hukum Islam.

"Wakil syarikat itu yang terkejut dengan penarikan balik sijil pengesahan halal Jakim mendakwa isu penyembelihan ayam mengikut hukum syarak diberi tumpuan utama kerana melabur lebih RM50 juta untuk kilang itu," katanya ketika ditemui Berita Harian di pejabatnya di sini, semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan Jakim menarik balik sijil pengesahan halal diberikan kepada syarikat Dindings Poultry Processing berikutan pemprosesan ayam di kilang itu meragukan.

Antara kesalahan dikesan Jakim, sesetengah ayam disembelih dua kali selepas penyembelihan pertama tidak sempurna dan ada ayam mati sebelum disembelih.

Selain itu, proses melalikan ayam menggunakan air panas dikawal pekerja bukan Islam, sekali gus melanggari syarat sah penyembelihan untuk haiwan halal yang mewajibkan ia dilakukan individu beragama Islam.

Pengumuman penarikan balik sijil itu disiarkan di laman web Jakim melalui www.halaljakim.gov.my, Selasa lalu.

Syarikat itu yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, dekat Lumut, dilaporkan sudah menarik balik semua produk keluarannya dari pasaran, terutama yang mempunyai tanda halal Jakim.



Ditanya mengapa maklumat berhubung penarikan balik sijil pengesahan halal terhadap Dindings Poultry Processing dihebahkan melalui laman web Jakim, Che Hassan berkata:

"Jakim menggunakan segala kapasiti yang ada untuk memaklumkan pihak terbabit berhubung penarikan balik sijil halal, termasuk siaran notis pada laman web, menghantar notis melalui mesin faksimili dan surat kepada pengeluar terbabit," katanya.

Jakim juga mendapatkan senarai pelanggan atau pembekal produk yang diragukan daripada pengeluar untuk membolehkan mereka memulangkan bekalan produk yang dihantar atau menariknya dari pasaran.

0 Comments:

Post a Comment