Jumaat, Disember 30, 2005

SELAMAT DISEMADIKAN....Selepas berebut beberapa hari, jenazah Allahyarham Mohamad Abdullah atau M Moorthy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang 28 Disember. Paginya, Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan Khas), Dato' Raus Sharif memutuskan mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan Moorthy Islam atau tidak kerana ia telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelum itu. Foto Nasir Sudin.
 
Kes Moorthy: Keputusan Mahkamah Syariah kekal, dikebumi di Danau Kota
Jenazah Mohamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, Kuala Lumpur dengan kawalan ketat polis.
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 28 Dis (Hrkh)-Mahkamah Tinggi (Rayuan Khas) memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah terhadap kes Mohamad Abdullah (M Moorthy) tidak boleh dipertikaikan dan hendaklah dipatuhi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd Raus Sharif yang membaca keputusan menyatakan, Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan kepada Perkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).
"Hanya Mahkamah Tinggi Syariah yang ada kuasa untuk menentukan simati terkeluar dari Islam atau tidak," katanya ketika membuat hujah penghakiman.
Sehubungan dengan keputusan Mahkamah itu, jenazah Mohamad dikeluarkan dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang tadi.
Jenazah itu kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota kira-kira jam 3 petang dengan kawalan ketat.
Dalam keputusannya, Mohd Raus menyatakan pihak Mahkamah Tinggi hanya meluluskan satu permohonan iaitu dalam perkara pertama permohonan keluarga simati, balu (Kaliammal) adalah sah sebagai seorang isteri kepada simati.
Sementara tuntutan menghalang mana-mana pihak menuntut mayat simati untuk dikebumikan secara Islam ditolak.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) diwakil peguam persekutuan, Fakhroul Azman Abu Hassan dan Hassan Abdul Rahman, sementara balu Allahyarham Mohammad, Kaliammal Sinnasamy diwakili peguam, M.Manokaran dan S.Sivanesan.
Begitupun, peguam yang mewakili Kaliammal, M.Manokaran dan S.Sivanesan menyatakan akan membuat satu lagi rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi menyemak semula perintah Mahkamah Tinggi Syariah.
Rayuan itu akan difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya petang ini, kata Manokaran.
Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembagunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar yang hadir dalam perbicaraan itu berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun beliau mempertikaikan ruang yang diberi untuk pihak pemohon membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan menjejaskan kredibiliti Mahkamah Tinggi Syariah.
Seharusnya dalam kes ini semua pihak patuh kepada keputusan yang dibuat berdasarkan Poerkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).
"Meskipun pihak Maiwp kini boleh mengkebumikan jenazah, tetapi jika rayuan pihak pemohon diterima Mahkamah Rayuan, maknanya kubur akan digali semula.Ini merumitkan keadaan," katanya.
Suasana tegang ketika mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.Malah ketika Kaliammal dibawa keluar dari mahkamah, wartawan tidak dibenarkan untuk mendekati beliau.
Bagaimanapun suara berbentuk provokasi atau perkauman sedikitpun tidak kedengaran.

0 Comments:

Post a Comment