Jumaat, Disember 30, 2005

“Bagaimana Khairy membiayai pembelian saham tersebut. Samada melalui pinjaman bank atau melalui wang peribadi beliau sendiri atau melalui apa-apa komisyen, jika ada, dari ECM Libra di atas apa juga peranan beliau yang mungkin ada, dalam proses penjualan saham Pantai kepada Parkway.”
 
Oleh HUSAM MUSA
Seksyen berita perniagaan, akhbar New Straits Time, Business Time, muka 4 bertarikh 28 Disember 2005 melaporkan pembelian saham sebuah syarikat perunding pelaburan, ECM Libra oleh menantu Perdana Menteri, Encik Khairy Jamaluddin sebanyak 12.9 juta saham atau bersamaan 3% saham dengan harga RM 9.2 juta.

Ia satu perkembangan yang menarik atas beberapa sebab;
a. Inilah pertama kali Khairy memiliki kepentingan secara langsung dalam syarikat selepas beliau bergelar menantu Perdana Menteri.
b. ECM Libra kebelakangan ini terlibat dalam menasihati penjualan saham beberapa syarikat, antaranya saham Southern Bank Berhad oleh keluarga diraja Selangor dan penjualan saham Pantai Holdings kepada syarikat dari Singapura, Parkway Holdings yang banyak menimbulkan kontroversi.
c. Bagaimana Khairy membiayai pembelian saham tersebut. Khairy, sebagai menantu Perdana Menteri, harus menjelaskan kepada masyarakat bagaimana beliau memperolehi saham ECM Libra tersebut, seperti; samada melalui pinjaman bank atau melalui wang peribadi beliau sendiri atau melalui apa-apa komisyen, jika ada, dari ECM Libra di atas apa juga peranan beliau yang mungkin ada, dalam proses penjualan saham Pantai kepada Parkway.
Peranan ECM Libra
Berbalik kepada peranan ECM Libra dalam penjualan saham syarikat Malaysia kepada syarikat Singapura. Ada beberapa pertanyaan sekitar penjualan ini. Antara lain;
a. Bagaimana Menteri Kewangan dengan mudah memberikan kelulusan terhadap penjualan tersebut. Sehingga kini, tiada penjelasan terbuka Kementerian Kewangan terhadap isu ini, meskipun 31% pegangan syarikat Malaysia telah dilepaskan kepada syarikat asing, satu jumlah yang besar dan melibatkan sektor yang strategic bagi negara ini.
i. Pertama, Pantai Holdings terlibat dalam perniagaan sektor kesihatan atau perubatan yang menerima banyak subsidi dari kerajaan Malaysia.
ii. Kedua, Pantai Holdings memiliki anak syarikat, Pantai Medivest dan Fomema yang diberikan konsensi beberapa projek kerajaan, antara lain projek Total Hospital Information System (THIS) bagi menguruskan data-data hospital serta pesakit di seluruh Malaysia. Data ini amat sensitive dan strategic bagi negara ini dan ia boleh terlepas kepada pihak lain melalui pemilikan syarikat seperti disebutkan.
Selain itu, Pantai Holdings mengendalikan tujuh buah hospital di Malaysia,
iii. 31% saham Pantai Holdings telah dibayar dengan harga RM311.58 juta oleh Parkway. Dari jumlah ini, berapakah komisyen yang diterima oleh ECM Libra? Adakah ECM Libra berhasrat mengumumkan pendapatan mereka dari yuran perundingan penjualan tersebut?Adakah pendapatan itu telah diagihkan? Adakah pemegang saham baru seperti Khairy akan mendapat keuntungan tidak langsung dari pendapatan yuran perundingan penjualan tersebut? Adakah jika pemegang saham baru akan mendapat apa-apa faedah dari pendapatan perundingan penjualan saham itu, ia tidak merupakan satu pelan yang telah dirancang lebih awal?
iv. Siapakah yang terlibat memujuk Menteri Kewangan memberikan izinnya sebegitu mudah tanpa mempertimbangkan pelbagai aspek yang disebut di atas, sehingga kepentingan 31% syarikat Malaysia boleh beralih tangan?
Tulisan Kadir Jasin
A Kadir Jasin dalam ruangannya Other Thots dalam majalah Malaysian Busines, 1 Disember 2005 juga membangkitkan peranan lain ECM Libra, iaitu ECM Libra terlibat bagi pihak keluarga diraja Selangor dan kumpulannya menjual pegangan mereka dalam Southern Bank Berhad kepada Commerce International Merchant Bank (CIMB).
Mengikut rencana tersebut, akhbar The Star, 23 November 2005 memetik penilain oleh Goldman Sachs yang berpejabat di Singapura menaikkan nilai sesaham SBB kepada rm 5.50 sesaham iaitu RM 1.50 lebih tinggi dari harga Bursa Malaysia.
Jika CIMB yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia membayar dengan harga tersebut, ia nescaya akan membuka mata banyak pihak kerana ia melibatkan wang syarikat milik kerajaan, kata rencana tersebut.
Rencana itu juga menyebut tentang langkah syarikat milik Singapura, Temasek Holdings mengurangkan pegangan sahamnya dalam SSB dari 7% kepada 4.9% tanpa kebenaran Bank Negara dan ini melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan(Bafia) dan tidak jelas apa tindakan yang telah diambil oleh Bank Negara terhadap pelanggaran tersebut.
Nyata bahawa ECM Libra akan memainkan peranan penting dalam sector koporat negara. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, adalah baik bagi pihak terbabit menjelaskan kepada masyarakat beberapa persoalan yang berkaitan;
A. Menteri Kewangan perlu menjelaskan mengapa ia telah memberikan kelulusan terhadap penjualan 31% saham Pantai Holdings kepada Parkway Holdings.
 
B. Encik Khairy mengenai cara pembiayaan pembelian saham ECM Libra dan isu berkaitan seperti yang disebutkan di atas.
-zs
 
 
 
 
 
 
-------------------------------
Husam adalah Naib Presiden PAS yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
 

0 Comments:

Post a Comment