Jumaat, Oktober 28, 2005

Thursday, October 27 @ 17:34:16 MYT
KOTA BHARU, 27 Okt (Hrkh) - Pihak Pengurusan Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) Kelantan akan mempertingkatkan kemahiran komputer dan bidang akademik tenaga pengajarnya mulai tahun depan.

Setiausaha Pasti Negeri, Zuraiddin Abdullah berkata, bersesuaian dengan perkembangan semasa, tenaga pengajar Pasti perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu berkaitan matematik, sains dan komputer.
“Bidang ini cukup penting memandangkan komputer menjadi keperluan dalam sistem pendidikan zaman sekarang. Selain itu, Pasti tetap mengenakan yuran bulanan bagi setiap pelajar kerana ia sebahagian pendapatan tenaga pengajarnya.
“Apa yang kita perlu kita buat di samping mengajar anak-anak dengan sukatan biasa, guru-guru Pasti juga boleh menunjuk ajar pengetahuan asas mengenai komputer,” katanya pada majlis konvokesyen Pasti Parlimen Kota Bharu, di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Zuraiddin berkata, biar pun Pasti berhadapan pelbagai saingan dari pelbagai pendidikan prasekolah, namun masyarakat tetap memilih sekolah terbabit memandangkan pembelajarannya ternyata berkesan.
Menurutnya, kemahiran menghafal pelbagai doa menjadi kelebihan kepada anak-anak kelas Pasti.
Beliau juga berkata, mulai tahun depan Pasti negeri mencari dana bagi membaikpulih bangunan-bangunan Pasti tertentu dengan kerjasama PAS cawangan bagi keselesaan pelajar dan guru.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Mohammad Mustafa berkata, program yang menjadi tumpuan kerajaan negeri adalah berkaitan pembangunan berteraskan insan.
“Kita membangun berdasarkan agama, taqwa dan keimanan. Telah menjadi dasar kerajaan negeri, mendidik rakyat negeri ini berasaskan nilai-nilai taqwa.
"Banyak program-program yang telah dibuat untuk mendidik masyarakat mengenai ketaqwaan kepada Allah,” katanya ketika menyampaikan tazkirah di majlis berbuka puasa anjuran sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sihat di JKR 10, baru-baru ini.
Pada majlis itu seramai 30 anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Jalan Yakubiah dan 20 keluarga miskin diberi sumbangan Hari Raya daripada Sihat.
- SMH, RT/mj

0 Comments:

Post a Comment