Jumaat, Oktober 28, 2005

Friday, October 28 @ 07:00:00 MYT Kadang-kadang, kata Husam, beliau terasa MCA lebih matang dalam menerima realiti politik Malaysia hari ini terutama sekali berkaitan dengan Islam.

PETALING JAYA, 28 Okt (Hrkh)- DAP diminta bersikap realistik dalam perjuangan politiknya dan menerima kedudukan Islam sebagai salah satu faktor penting politik Malaysia. Naib Presiden PAS, Husam Musa dalam wawancara khas dengan akhbar Cina, Guang Ming Daily berkata, sikap DAP itu penting bagi mengukuhkan pembangkang di negara ini.

"Saya harap DAP bersikap sedikit realistik terhadap politik Malaysia dan menerima hakikat bahawa Islam adalah faktor penting politik negara ini," kata beliau.

Beliau diwawancara oleh tiga wartawan Guang Ming di pejabat mereka dekat Petaling Jaya yang diketuai oleh Penolong Pengarang Beritanya, Ng Sern Loong.

Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu membincangkan pelbagai perkara termasuk persoalan arah tuju PAS di masa depan berikutan perubahan pucuk pimpinannnya dalam muktamar yang lalu.

Husam juga ditanya soal politik dan dasar kerajaan negeri Kelantan di samping hubungan PAS dengan Anwar dan lain-lain parti pembangkang termasuk DAP.

Kadang-kadang, kata Husam, beliau terasa MCA lebih matang dalam menerima realiti politik Malaysia hari ini terutama sekali berkaitan dengan Islam.

Bagi Husam, kekuatan dan kesepakatan pembangkang sekarang sangat penting bagi mencapai hasrat bersama iaitu mengubah kerajaan yang ada kerana Umno sudah tidak boleh dibaiki lagi khasnya berkaitan politik wang dan amalan korup.

Menurut Husam, agenda untuk membersihkan pentadbiran negara sekarang perlu menjadi agenda semua rakyat kerana selagi kerajaan Umno yang ada sekarang kekal, selagi itulah agenda ini tidak boleh dilaksanakan.

"Amalan korup sudah membarah dalam Umno dan tidak boleh diperbaiki lagi," katanya.

Bagi mencapai hasrat bersama, kata Husam, semua pihak perlu berkorban sedikit sebanyak.

"Misalnya jika undi kita sedikit berkurang dalam pilihan raya kita tidak boleh berpatah balik hanya kerana sedikit kekurangan itu...perjuangan mesti diteruskan baru rakyat yakin," kata beliau.

Anwar bakal PM

Bagi Husam, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah bakal Perdana Menteri jika PAS dan pembangkang yang ada memerintah negara.

"Rakyat bukan Islam tentu tidak berapa yakin dengan PAS dan pemimpinnya. Mereka lebih kenal Anwar. Jadi apa salahnya Anwar dilantik jadi PM. PAS tidak tamak dalam hal ini," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah PAS menerima jika Anwar jadi pemimpin PAS.

"Tidak berbangkit soal Anwar menjadi pemimpin PAS atau tidak. Yang penting Anwar bersama kita untuk memimpin Barisan Alternatif untuk membentuk kerajaan alternatif kepada BN," kata beliau.

Fokus utama sekarang, kata Husam adalah untuk membentuk pasukan pembangkang yang kuat.

Untuk pilihan raya akan datang, fokus PAS adalah untuk berjaya memerintah Malaysia atau sekurang-kurangnya menjadi pembangkang yang kuat.

"Anwar adalah tokoh yang sesuai untuk memimpin Malaysia di waktu itu," kata Husam. -ZS

0 Comments:

Post a Comment