Rabu, Oktober 15, 2008

KOTA BAHRU: Murysidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mengetuai Kelantan sejak 1990, masih yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat sambil menekankan bahawa pihaknya akan tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Keputusan memilih Anwar jika pembangkang berkuasa di peringkat persekutuan, kata Nik Aziz, sudah lama dipersetujui oleh pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pembangkang telah memutuskan demikian semasa pihaknya bersetuju untuk mewujudkan barisan alternatif sembilan tahun lalu.

"Cerita Anwar (dipilih sebagai Perdana Menteri) sudah lama... belum pada ini kita ada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), lepas itu Barisan Alternatif, masa kita buat (bentuk) BA, kita dah buat keputusan, Perdana Menterinya Anwar... bukan cerita baru," kata beliau ketika ditemui di kediaman beliau di sini baru-baru ini.

Barisan alternatif dibentuk oleh pembangkang ketika menghadapi pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Selepas pilihan raya umum Mac lalu pihaknya menamakan ikatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.

Nama itu diumumkan pada 1 April lalu dengan menyasarkan 16 September bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun pada tarikh tersebut kerajaan baru tidak dibentuk, sebaliknya Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat meminta diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah Anwar juga meminta supaya diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan sokongan anggota Dewan Rakyat pada 23 September lalu.

Kedua-dua permintaan itu telah ditolak oleh Abdulllah.

Ketika ditanya tentang peluang dan kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat, Nik Aziz berkata: "Kami mesti ambil alih kecuali dia (kerajaan) kacau, diguna ISA, ditangkap, itu lainlah."

Tambah beliau, jika demokrasi dilaksana dengan sepenuhnya, sudah lama Umno digantikan dengan kerajaan baru.

"Kami yakin, syaratnya demokrasi diberi peluang penuh, tiada gangguan ISA, tiada ditangkap, kecuali dia ditangkap macam komunis," katanya.

Apabila ditanya mengenai perbezaan pandangan dan tidak puas hati dalam isu pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat dan diketuai Anwar jika menjadi, Nik Aziz berkata, masalah itu tidak wujud secara keseluruhan.

Cuma, jelas Nik Aziz, wujud sedikit perasaan ragu-ragu memandangkan Anwar dituduh kerana dituduh liwat sedangkan mahkamah sudah lepaskan beliau.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen, pernah berhadapan dengan kes liwat 10 tahun lalu tetapi dibebaskan dan berhadapan dengan tuduhan buat kali kedua Ogos lalu.

Jumaat, Oktober 10, 2008

KOTA BHARU, 10 Okt (Hrkh) - Rakyat tidak seharusnya gusar biar pun tarikh pertukaran kerajaan yang diuar-uarkan 16 September lalu belum menjadi kenyataan, kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, lagi pun rakyat sebelum ini sanggup menunggu puluhan tahun bagi membolehkan Pakatan Rakyat bangkit pada pilihan raya umum lalu.

"Puluhan tahun kita sanggup tunggu, tak kan hendak tunggu sekejap lagi pun tidak boleh," katanya pada ceramah perdana Aidilfitri di Padang Perdana, malam tadi.

Padang tempat berlangsung ceramah penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Ceramah itu turut mendapat liputan sebuah stesen televisyen dari Australia yang memfokuskan segmen kebangkitan semula Anwar.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Anwar yang juga anggota parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan Rakyat tidak mahu pertukaran kerajaan berlaku seperti di Bangkok dan Filipina secara tidak aman.

"Kita pilih secara aman biar pun usaha Pakatan Rakyat sebelum ini mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri tidak diendahkan. Begitu juga permohonan untuk mengadakan sidang parlimen khas juga tidak dihiraukan.

"Malah Pakatan Rakyat sudah menghantar surat kepada Yang di Pertuan Agong bagi memaklumkan perkembangan terkini dalam Pakatan Rakyat yang sudah ada simple majority bagi membentuk kerajaan," katanya.

Pada ceramah itu sekali lagi beliau menegaskan Islam menjadi tunggak utama kerajaan baru sebagaimana yang termaktud dalam perlembagaan.

Katanya menjadi keutamaan Pakatan Rakyat untuk terus memartabatkan Islam dan PAS tetap menjadi penaju utama kepada kerajaan baru.

Menurutnya, setiap dasar kerajaan akan diputuskan bersama dengan parti-parti Pakatan Rakyat dan bukan menjadi dominan kepada pihak tertentu sahaja.

Anwar juga memberitahu beliau tidak setuju dengan cara pemimpin Umno menghina begitu rupa presiden mereka sehingga terpaksa membuat keputusan berundur Mac depan.

"Oleh itu baki lima bulan yang ada sekarang Perdana Menteri hendaklah menggunakan ruang tersebut bagi memulihkan kembali reputasinya. Pertama membebaskan mereka yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kemunting.

"Dato' Seri Abdulllah tidak perlu lagi takut kepada pemimpin lain dalam Umno kerana mereka sudah meneranjangnya sekarang," tambahnya.

Beliau berkata, sekiranya Abdullah tidak menggunakan peluang tersebut, Pakatan Rakyat akan melakukannya dengan membebaskan semua tahanan ISA apabila dapat membentuk kerajaan kelak.

Hujah itu turut disokong Husam yang mahu Perdana Menteri menggunakan baki kuasa yang ada sekarang kerana penggunaan ISA muktahir ini begitu meragukan sekali.

"Tidak pernah berlaku orang yang dikatakan kena ugut ditahan dan orang yang mengugut pula bebas di luar," katanya.

Beliau juga berkata, petanda-petanda kejatuhan kerajaan BN semakin jelas sekarang apabila perpecahan dalam parti semakin ketara.

Sebab itulah sekarang menurutnya, rakyat tidak sabar lagi menunggu kerajaan baru dibentuk dan bukan lagi sekadar pertukaran Abdullah kepada Najib.

Saifuddin menjelaskan biar pun Najib menggantikan Abdullah pada Mac depan ia tidak menjanji apa-apa perubahan kepada rakyat kerana dasar parti tetap sama.

"Institusi polis, peguam negara, badan rasuah masih lagi terkial-kial sekarang. Kerajaan yang diketuai Najib juga tidak menjanjikan masa depan yang baik.

"Oleh itu anggota-anggota parlimen BN dipelawa menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar telus dan adil dapat dibentuk melalui simple majority," ujarnya.

Sabtu, September 20, 2008

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.

Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,

� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,

� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Sabtu, Ogos 30, 2008

Oleh: Suara N9
Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pada masa ini menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Sembilan dengan DAP 10 , PKR 4 dan PAS 1 kerusi. Sementara BN mempunyai 21 kerusi dengan UMNO 19 , MCA 1 dan MIC 1 kerusi.

Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan hanya memerlukan 4 kerusi sahaja lagi untuk memerintah Negeri Sembilan. Apakah ini akan berlaku pada 16 September 2008 atau pada Pilihanraya Umum ke 13 , biarlah ianya menjadi teka teki Dato Seri Mohamad Hassan untuk menilai sendiri kesetiaan ADUN BN kepada beliau.

Apa yang pasti sekiranya terdapat 2 orang ADUN Melayu dan 2 orang ADUN bukan Melayu dari BN di N.Sembilan keluar dari BN dan menyertai Pakatan Rakyat maka , BN tidak lagi memerintah N.Sembilan.

Buat masa ini terdapat 22 ADUN Melayu , 9 ADUN Cina dan 5 ADUN India di Negeri Sembilan. DAP mempunyai 7 ADUN Cina dan 3 ADUN India. PKR pula diwakili 2 ADUN Melayu , 1 ADUN Cina dan 1 ADUN India. Sementara PAS hanya 1 ADUN Melayu.

Pada ketika ini kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Dato Seri Mohamad Hassan mempunyai 10 orang EXCO tidak termasuk Menteri Besar dimana 8 EXCO Melayu, 1 Cina dan 1 India.

Sekiranya Pakatan Rakyat di N.Sembilan berjaya membentuk kerajaan dengan andaian diatas maka akan terdapat 9 ADUN Cina , 5 ADUN India dan 5 ADUN Melayu. Sementara BN hanya ada 17 ADUN Melayu yang semua diwakili UMNO.

Sudah pasti atas dasar demokrasi ADUN Cina akan mendapat lebih jawatan EXCO di N.Sembilan ini yang majoritinya dari DAP. Kemungkinan bilangan EXCO Melayu 3 , EXCO Cina 4 dan EXCO India 3.

Maka wajarkah kita menyalahkan DAP jika ramai EXCO Cina di Negeri Sembilan ?

Mengapa tidak disalahkan ADUN dari UMNO yang tidak ramai keluar dari BN untuk menyertai Pakatan Rakyat Negeri Sembilan samada dengan menyertai DAP, PKR, PAS atau Bebas ?

Mengapa tidak disalahkan para pengundi Melayu di Negeri Sembilan untuk memenangkan wakil Melayu dalam Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke 12 atau Pilihanraya Umum ke 13 nanti ?

Mengapa tidak salahkan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat berbangsa Melayu dalam PKR dan PAS yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempastikan kemenangan calon mereka dalam pilihanraya dengan mengorbankan segala tenaga , masa dan wang ringgit ?

Bak kata Nabil "Raja Lawak" orang Mambau , Negeri Sembilan "Lu pikirlah sendiri".

Khamis, Ogos 28, 2008

Sinar Harian. KOTA- Seorang ibu tunggal terpaksa memikul tanggungjawab yang besar dalam membesarkan lima orang anak dan empat yang masih bersekolah serta menjaga ibu yang telah uzur di Kampung Baru Chengkau Ulu.

Nafsiah Yusof 48, yang bekerja di kilang ayam di Pedas, cekal menghadapi hidup setelah bercerai enam tahun lalu tanpa diberi nafkah untuk membesarkan anak-anak.

Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tetapi ia tidak mencukupi untuk membesarkan anak-anak tanpa bantuan daripada bekas suami.

Seawal jam 5.30 pagi, Nafsiah akan berjalan kaki berulang alik ke perhentian bas setiap hari untuk ke tempat kerja dan pulang antara 6 hingga 7 petang dengan jarak yang sangat jauh.

"Biasanya saya akan memasak terlebih dahulu untuk anak-anak dan ibu, kemudian baru saya pergi bekerja," katanya.

Anak-anaknya yang bersekolah dari darjah dua hingga enam di Sekolah Kebangsaan Bongek terpaksa berdikari sendiri untuk persiapan ke sekolah dengan menaiki van yang dibayar RM200 sebulan.

Selain itu, kesihatan anak-anaknya begitu membimbangkan Nafsiah apabila anak perempuannya yang berumur 12 tahun sering mengadu sakit perut dan pinggang.

"Saya telah membawanya ke klinik, namun doktor mengatakan tiada apa-apa penyakit tetapi penyakitnya sering berulang dan merisaukan saya.

"Hendak dibawa berjumpa pakar, saya tidak berkemampuan daripada segi kewangan," katanya.

Kehidupan yang menghimpit semakin perit apabila rumah yang uzur perlu dibaiki untuk memberikan keselesaan terhadap anak-anaknya yang semakin membesar.

Atas keprihatinan dan jasa baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Dr Awaludin Said, permohonan saya terhadap Rumah Mesra Rakyat telah diluluskan yang kini dalam proses pengesahan peguam dan akan dibina tidak lama lagi.

Namun, disebabkan pendapatan bersih setiap bulan hanya RM500 lebih menyukarkannya untuk membayar dan Nafsiah telah memohon bagi pihak anak sulungnya yang telah bekerja dan berkeluarga.

Apabila rumah itu siap nanti anak sulungnya yang akan menetap di situ sebaliknya dia dan anak-anak lain akan terus tinggal di rumah yang didiaminya sekarang.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1899585.asp

SEREMBAN, 28 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan, mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan di dalam persidangan Dun Negeri Sembilan semalam kerana berang dengan tindakan Adun Pakatan Rakyat yang keluar dari dewan sebagai tanda protes.

Persidangan Dun yang bermula jam 10 pagi itu menjadi kecoh apabila Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP-Lobak), menyuarakan rasa tidak puas hati Adun Pakatan Rakyat kepada Speaker Dato' Razak Mansor kerana penggiliran sesi soal jawab ketika perbahasan hanya mengutamakan kepada Adun Barisan Nasional (BN) sahaja.

Adun BN pula akan melengah-lengahkan masa dan membangkitkan soalan yang tiada mempunyai kepentingan langsung terhadap permasalahan rakyat sehingga menyebabkan Adun Pakatan Rakyat tidak berpeluang untuk membangkitkan soalan kerana masa sudah tamat.

Loke mencadangkan supaya diselang-selikan soalan di antara wakil BN dan Pakatan Rakyat supaya ianya adil kepada kedua-dua belah pihak seperti yang diamalkan di Parlimen mahupun di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Walaubagaimana pun, ianya ditolak oleh Dato' Razak dengan alasan peraturan itu telah dijalankan sejak sekian lama dan memang diamalkan di dalam persidangan Dun Negeri Sembilan, ini menyebabkan 15 Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dari dewan pada pukul 10.30 pagi kerana memboikot persidangan Dun tersebut.

Mohamad Hasan yang jelas berang dengan tindakan itu mengatakan 'pergi mampus' kepada pembangkang sambil diiringi sorakan Adun BN yang lain ketika menggulung perbahasan pada pukul 12.00 tengahari.

"Mereka ingat saya takut, 'pergi mampus' sama mereka, mereka tak ada pun kita boleh bersidang juga lagi senang kita buat kerja," kata beliau dengan nada marah.

Akhirnya persidangan Dun kali ini ditamatkan pada pukul 12.30 tengahari iaitu antara tempoh persidangan Dun yang terpendek sedangkan notis yang diberikan sebelum ini untuk dua hari. - mks. _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16694&Itemid=1

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, semalam sebagai tindakan bodoh dan mengkhianati pengundi yang memilih mereka pada pilihan raya umum lalu. (Petikan Berita Harian 28 Ogos 2008) http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Wilayah/20080828091207/Article/index_html

11 ADUN BN di Pulau Pinang bodoh juga ke ? ADUN-ADUN BN di Kelantan bodoh juga ke ? Kerana semua ADUN-ADUN BN ini yang kebanyakannya UMNO , juga telah keluar sidang dewan pada tahun ini. Datuk Seri sebagai pemimpin negeri haruslah bersikap professional , bukannya emosional.

11 ADUN BN tinggalkan sidang DUNPULAU PINANG 28 Julai - Semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bertindak keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).. (Petikan Utusan Malaysia 29 Julai 2008) http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0729&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_11.htm&arc=hive

Wakil BN keluar sidang DUN Kelantan KOTA BHARU 7 Julai - Semua wakil pembangkang hari ini bertindak keluar daripada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas membantah keputusan Speaker, Mohd. Nassuruddin Daud yang menolak 10 daripada 15 soalan lisan yang dikemukakan mereka. (Petikan Utusan Malaysia 8 Julai 2008) http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0708&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_04.htm&arc=hive