Khamis, Ogos 28, 2008

Sinar Harian. KOTA- Seorang ibu tunggal terpaksa memikul tanggungjawab yang besar dalam membesarkan lima orang anak dan empat yang masih bersekolah serta menjaga ibu yang telah uzur di Kampung Baru Chengkau Ulu.

Nafsiah Yusof 48, yang bekerja di kilang ayam di Pedas, cekal menghadapi hidup setelah bercerai enam tahun lalu tanpa diberi nafkah untuk membesarkan anak-anak.

Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tetapi ia tidak mencukupi untuk membesarkan anak-anak tanpa bantuan daripada bekas suami.

Seawal jam 5.30 pagi, Nafsiah akan berjalan kaki berulang alik ke perhentian bas setiap hari untuk ke tempat kerja dan pulang antara 6 hingga 7 petang dengan jarak yang sangat jauh.

"Biasanya saya akan memasak terlebih dahulu untuk anak-anak dan ibu, kemudian baru saya pergi bekerja," katanya.

Anak-anaknya yang bersekolah dari darjah dua hingga enam di Sekolah Kebangsaan Bongek terpaksa berdikari sendiri untuk persiapan ke sekolah dengan menaiki van yang dibayar RM200 sebulan.

Selain itu, kesihatan anak-anaknya begitu membimbangkan Nafsiah apabila anak perempuannya yang berumur 12 tahun sering mengadu sakit perut dan pinggang.

"Saya telah membawanya ke klinik, namun doktor mengatakan tiada apa-apa penyakit tetapi penyakitnya sering berulang dan merisaukan saya.

"Hendak dibawa berjumpa pakar, saya tidak berkemampuan daripada segi kewangan," katanya.

Kehidupan yang menghimpit semakin perit apabila rumah yang uzur perlu dibaiki untuk memberikan keselesaan terhadap anak-anaknya yang semakin membesar.

Atas keprihatinan dan jasa baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Dr Awaludin Said, permohonan saya terhadap Rumah Mesra Rakyat telah diluluskan yang kini dalam proses pengesahan peguam dan akan dibina tidak lama lagi.

Namun, disebabkan pendapatan bersih setiap bulan hanya RM500 lebih menyukarkannya untuk membayar dan Nafsiah telah memohon bagi pihak anak sulungnya yang telah bekerja dan berkeluarga.

Apabila rumah itu siap nanti anak sulungnya yang akan menetap di situ sebaliknya dia dan anak-anak lain akan terus tinggal di rumah yang didiaminya sekarang.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1899585.asp

0 Comments:

Post a Comment