Jumaat, Mac 24, 2006

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan meneruskan 'Perhimpunan Pekerja Bersama Keluarga" di perkarangan bangunan KLCC Ahad 26 Mac ini bagi membantah kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Presiden MTUC, Syed Shahir berkata, perhimpunan ini bertujuan untuk menerangkan kepada para pekerja dan keluarga mereka kenapa MTUC membantah kenaikan ini sebelum memorandum bantahan diserahkan kepada Perdana Menteri pada keesokan harinya (Isnin).

"Kita akan pastikan perhimpunan ini seaman mungkin," kata Syed Shahir ketika dihubungi Harakahdaily.

Ketika ditanya kenapa MTUC membantah kenaikan ini, Syed Shahir memberikan dua sebab utama iaitu mangsa utama kenaikan ini adalah golongan pekerja dan yang kedua 'ia boleh dielakkan'.

"Sebagaimana kenyataan pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri sendiri, kenaikan ini boleh dielakkkan," kata beliau.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak perlu menaikkan harga minyak kalau kerajaan memperkuatkan nilai mata wang negara iaitu ringgit.

Perhimpunan anjuran MTUC ini akan bermula jam 10 pagi di perkarangan KLCC. Ia bakal disertai oleh badan-badan lain termasuk NGO dan sebagainya.

Sebelum ini, Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak dan Gas (Protes) dalam kenyataan mereka berkata, para penyokongnya juga diarahkan untuk menyertai perhimpunan anjuran MTUC ini.

Protes dengan slogannya 'Protes Sampai Turun' telah menganjurkan demo di seluruh negara termasuk dua kali di perkarangan KLCC.

0 Comments:

Post a Comment