Rabu, Mac 01, 2006

Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 1 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon kerajaan Pusat menarik balik keputusan menaikkan harga minyak sehingga 30 sen seliter yang berkuatkuasa semalam. Menurutnya, kenaikan harga petrol dan diesel sehingga 30 sen seliter amat  membebankan rakyat dan mereka berdukacita dengan keputusan kerajaan itu.

"Saya minta kerajaan Pusat bukan sahaja kaji balik kenaikan tersebut, sebaliknya menarik balik kenaikannya," ujarnya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Lewat malam semalam kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram berkuat kuasa segera.

Harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol ROM92 (RM1.88 seliter), diesel (RM1.581 seliter) dan LPG (RM1.75 sekilogram).

Menteri Besar berkata, sebagai wakil rakyat beliau sering menjadi tempat rakyat mengadu masalah mereka termasuk isu kenaikan harga minyak atau yuran persekolahan anak.

“Namun bagi pemimpin kerajaan Pusat dan menteri-menteri mungkin mereka tidak menjadi tempat rakyat untuk datang mengadu. Kalau boleh tak payah kaji balik, tarik semula kenaikan tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, tiada makna kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah sekiranya rakyat hidup dalam kesusahan akibat pemimpin silap mengurus negara.

"Inilah juga bahana kempen gaya hidup mewah yang dipamerkan kerajaan sekarang. Kita sendiri tengok kerajaan memanjakan rakyat dengan pelbagai subsidi. Sebaliknya Islam tidak mengajar penganutnya hidup mewah, hanya sederhana dalam segala hal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Haji Ahmad Othman turut melahirkan rasa terkilan di atas kenaikan minyak sehingga 30 sen seliter yang dianggap tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ekoran kenaikan itu kata beliau, tidak dapat ditolak akan mengundang inflasi memandangkan harga barangan keperluan harian akan naik.

“Tak kan bawang seulas datang bergolak ke rumah pengguna, ia tentunya diangkut dengan kenderaan, dan kenderaan menggunakan minyak untuk bergerak. Apabila harga minyak naik sudah tentu tambang akan meningkat,” katanya.

Oleh itu beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu bekerja keras bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan setelah belaku peningkatan harga minyak.

Bagaimanapun tambahnya, mungkin kerajaan menaikkan harga minyak yang begitu tinggi bagi mengelakkan penyeludupan ke negara jiran, disebabkan harga minyak di negara terbabit mahal berbanding pasaran tempatan.

Seorang peniaga, Haji Suply Abdul Razak berkata, kerajaan tidak boleh menjadikan isu kenaikan harga minyak dengan penyeludupan kerana masalah itu tidak melibatkan rakyat terbanyak.

Lagi pun kerajaan tentunya ada mekanisme lain untuk mengatasi penyeludupan diesel ke negara jiran,” tambahnya.

“Tak kan kerana masalah segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan berpuluh juta rakyat terpaksa menanggung beban. Ini memang tidak lojik sekali.

0 Comments:

Post a Comment