Khamis, Mac 09, 2006

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) akan menganjurkan satu lagi demonstrasi aman membantah kenaikan harga minyak di perkarangan KLCC mulai jam 2 petang Jumaat, esok.
 
Menurut Jurucakap Protes yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, kali ini bilangan yang lebih besar dan tempoh bantahan yang lebih lama dijangka akan mewarnai demo besok.
 
"Moto kita adalah Protes Sampai Turun...apa atau siapa yang turun kita tengok siapa yang kena nanti," kata beliau kepada Harakahdaily.
 
Protes disertai oleh parti-parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan. Mereka bergerak atas kepentingan bersama iaitu menuntut harga minyak diturunkan kembali demi kepentingan rakyat terbanyak kerana kesan kenaikan sebanyak 30 sen bagi setiap liter minyak kali ini agak parah.
 
Demo kali ini, kata Nasharudin akan berjalan di KL dan Kuala Terengganu sahaja. Penyokong dari negeri-negeri lain akan datang ke KL. Minggu lalu, demo telah diadakan hampir kesemua bandar di Semenanjung kecuali Kuala Terengganu yang akan berjalan di perkarangan Pentas Budaya, Pantai Batu Buruk mulai jam 4 petang esok.
 
"Oleh itu, kita meminta penyokong kita dari negeri-negeri, kecuali Terengganu, datang ke KLCC Jumaat esok ini," kata beliau. Mereka dijangka berkumpul di beberapa masjid di sekitar KLCC sebelum berarak ke bangunan yang terletaknya pejabat Petronas, syarikat minyak milik negara yang mengaut banyak keuntungan itu.

0 Comments:

Post a Comment