Khamis, Mac 30, 2006

Artikel Menarik

Peguam Syarie Menulis: Hukuman mati ikut Barat kurang insafkan penjenayah

SARANAN Majlis Peguam, baru-baru ini, supaya hukuman gantung sampai mati dimansuhkan kerana pelaksanaannya selama ini gagal menurunkan kadar jenayah, terutama jenayah berat perlu diperhalusi daripada pelbagai sudut. Sambil mengagungkan apa yang berlaku di Amerika Syarikat, majlis itu sebenarnya gagal mendalami sensitiviti dan keperluan masyarakat tempatan.
 
Saranan ini sebenarnya hasil resolusi yang dibincangkan ketika mesyuarat agung tahunan ke-60 badan guaman itu pada 18 Mac lalu.

Jika kadar jenayah yang masih tinggi dijadikan alasan, apakah jaminan sekiranya hukuman mati ini dimansuhkan kadar jenayah akan turun? Adakah pesalah berat yang telah dihukum ini akan keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan tidak mengulangi kesalahannya?

Kegagalan menurunkan kadar ini sebenarnya berpunca daripada pelaksanaan hukuman mati dan bukan hukuman itu sendiri. Apa yang berlaku sekarang, hukuman mati dijalankan secara tertutup dan tidak disaksikan orang ramai.

Bagaimanakah hukuman sebegini dapat memberi kegerunan kepada sesiapa kerana mereka sendiri tidak pernah melihat ia dilaksanakan. Hukuman seperti ini biasanya dijalankan di dalam penjara dan disaksikan pegawai penjara, pegawai perubatan, majistret dan ahli keluarga terdekat. Orang awam hanya akan mengetahui setelah hukuman itu dilaksanakan.

Di Arab Saudi dan beberapa negara lain yang menjalankan hukuman mati secara terbuka, apakah kadar jenayah negara itu tinggi? Ini adalah bukti bahawa hukuman sebegini akan melindungi masyarakat umum daripada dikacau ganggu orang yang tidak bertanggungjawab.

Jangan hanya merujuk kepada Barat sebagai penyelesai masalah, sedangkan di tempat lain masih banyak yang kita boleh mengambil iktibar.

Majlis Peguam juga khuatir suatu hari kelak akan ada kes di mana orang yang tidak bersalah telah dihukum mati dan didapati bukan dia yang melakukan kesalahan itu kemudian hari. Memang benar orang yang tidak bersalah ini tidak boleh diselamatkan lagi kerana telah meninggal dunia. Tetapi, adakah ini alasan yang munasabah hukuman mati itu perlu dimansuhkan? Tidak adakah cara lain di mana kesilapan seperti ini dapat dielakkan?

Di dalam sistem perundangan yang kita amalkan pada masa ini, seseorang yang telah disabitkan bersalah dan dihukum dengan hukuman mati tidak akan terus dibunuh. Secara automatik kes ini akan dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi untuk rayuan dan ia akan diputuskan oleh sekurang-kurangnya tiga hakim Mahkamah Rayuan. Mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan) akan membuat keputusan mereka.

Sekiranya masih didapati bersalah, maka rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula boleh dibuat di hadapan panel sekurang-kurangnya tiga hakim. Setelah keputusan dicapai dan jika masih lagi disabitkan bersalah, pesalah ini boleh memohon pengampunan kepada Sultan.

Proses ini amat panjang. Tentu dalam proses ini akan muncul fakta baru yang menunjukkan ketidakbersalahan pesalah itu dan dia akan bebas daripada hukuman itu.

Sekurang-kurangnya tujuh hakim yang akan membuat keputusan itu. Setelah segala jalan diambil dan tidak berjaya, baru hukuman mati ini boleh dilaksanakan. Maka, kebarangkalian kesilapan akan berlaku amat kecil.

Seperkara lagi yang boleh diamalkan ialah dengan mengetatkan pembuktian. Pada masa ini pembuktian yang dibebankan ialah melampaui keraguan munasabah. Beban ini adalah tinggi dan hendaklah dipikul oleh pihak pendakwa. Tugas peguam bela hanya menimbulkan keraguan yang munasabah bagi membebaskan orang yang kena tuduh itu.

Beban pembuktian di dalam Islam untuk kes yang membabitkan hukuman mati adalah lebih tinggi lagi iaitu melampaui sebarang keraguan. Dengan cara ini ia akan mengelakkan kesilapan menghukum seseorang. Namun, ia tidak bermakna mereka akan terlepas begitu saja kerana masih boleh disabitkan dalam kesalahan lain yang dikategorikan sebagai takzir.

Di dalam pembuktian kes yang membawa hukuman mati, banyak perkara yang perlu diteliti hakim seperti kewibawaan saksi, dokumen dan sumpah. Dengan itu tidak akan berlaku kesilapan menghukum orang yang tidak bersalah.

Janganlah kita hanya mementingkan hak asasi pesalah. Kita perlu sedar sistem undang-undang yang diterima telah mensabitkan beliau atau suatu kesalahan yang berat seperti membunuh dan mengedar dadah.

Tidakkah kita prihatin dengan perasaan dan kesusahan yang dihadapi keluarga mangsa? Bagaimanakah keadaan keluarga mangsa yang dibunuh apabila suatu hari nanti terserempak dengan pembunuh ayah mereka?

Bagi pengedar dadah yang merosakkan masyarakat umum pula, tentulah mereka akan keluar dari penjara dan meneruskan kegiatan itu kerana memberikan pulangan lumayan. Yang menjadi mangsanya ialah anak kita yang akan terjebak ke dalam lembah kehinaan itu.

Mereka yang melakukan kesalahan kejam seperti membunuh dan mengedar dadah ini hanya mementingkan diri sendiri. Mereka sebenarnya tidak layak hidup kerana hanya memberi kemudaratan kepada orang lain. Yang pasti keluarga mangsa akan mengalami trauma, sedih, marah dan kesusahan yang tidak terhingga apabila mendapati keluarga mereka menjadi mangsa pembunuhan.

Buat sedikit kajian terhadap keluarga mangsa. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan mereka setelah insiden kejam itu berlaku. Bagaimana perasaan mereka ketika menghadapi perbicaraan dan menerima keputusan yang dibuat hakim.

Oleh itu, saranan berkenaan perlu dikaji dan tidak terus membuat andaian hanya dengan merujuk kepada Barat. Mungkin kerajaan boleh mencuba pendekatan baru dengan melaksanakan hukuman mati di tempat terbuka dengan cara sesuai. Pasti kita akan dapati penurunan mendadak jenayah di Malaysia. Hukuman lain seperti mencuri dan merogol juga boleh dilakukan di tempat terbuka dengan tujuan sama. Dengan cara ini matlamat hukuman itu sebagai suatu pengajaran akan dapat dicapai.

Hak pesalah untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Tetapi, setelah dibicarakan dengan adil dan disabitkan kesalahan, maka hak keluarga mangsa dan orang awam hendaklah diutamakan. Hak keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan. Hak orang awam untuk hidup dalam keadaan selamat dan tenteram.

0 Comments:

Post a Comment