Rabu, Disember 21, 2005

Oleh HELMI KHALID
ALOR STAR, 21 Dis (Hrkh) - Kelam kelibut negeri Kedah menghadapi suasana banjir yang mengejutkan penduduknya kali ini, tetapi yang baiknya semua jentera PAS di negeri ini bergerak dengan baik bagi membantu mangsa.

Dengan diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya, Mahfuz Omar dan lain-lain termasuk wakil rakyat PAS dan Pemuda, jentera PAS digerakkan sepenuhnya bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan segera.

Keadaan banjir di Kedah, terutamanya di Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, semakin serius, paras air Sungai Anak Bukit makin tinggi dan arus yang deras ada kalanya menyukarkan tugas bantuan kepada mangsa.

Terputus hubungan

Beberapa jalan utama seperti Anak Bukit - Pantai Johor, Pantai Johor - Sungai Baru, Hutan Kampung - Jalan Langgar, Lebuhraya Kepala Batas - Bandar Baru Darul Aman telah ditutup.

Namun di Jitra semalam, jalan pintas ke sana melalui hadapan Politeknik Mua'adzam Shah dan Taman Osman Aroff mulai surut di kawasan kediaman, pun begitu, arus sungai tetap deras.

Taman Tema di Bandar Darul Aman, tempat berlangsungnya majlis penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan baru ini 'tenggelam' sama sekali.

PAS gerakkan jentera

Hampir seluruh tenaga penting Badan Perhubungan PAS Kedah telah turun padang mulai hari pertama banjir 18 Disember lalu.

(Haji Mahfuz Omar bersama pasukan bantuannya menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Titi Gajah)

Operasi di Kubang Pasu melibatkan Yang DiPertuanya (YDP), Dr. Abdul Isa Ismail dibantu Ketua Pemudanya, Ustaz Yusuf Ahmad.

Banjir besar di Jitra ini adalah di luar dugaan, Pekan Jitra 2 lumpuh sama sekali, air memasuki kedai termasuk bank-bank.

PADA 19 Disember, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Haji Mahfuz Omar mengetuai operasi sumbangan makanan asas di Kubang Pasu bersama Setiausaha PAS Kedah, Aris Awang, di Sekolah Kebangsaan Haji Ahmad Tajudin dan di Pejabat PAS Kawasan Kubang Pasu, Tok Kesop yang turut ditenggelami air kira-kira paras dada.

Malamnya, pasukan ini berada di Padang Terap dengan misi bantuan yang sama serta menziarahi beberapa penempatan pemindahan banjir.

Dewan Pemuda PAS negeri pula berada di Sekolah Kebangsaan Jitra semalam, selain sumbangan makanan, khidmat rawatan percuma melalui Yayasan Amal Kedah.

Program yang dikendalikan oleh Dr. Mohd. Hamdan Khalib yang juga Ketua Penerangan Pemuda Kedah mendapat sambutan dan dihargai mangsa memandangkan belum ada khidmat sedemikian dilaksanakan oleh mana-mana pihak setakat ini.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Musoddak Haji Ahmad ketika ditemui di situ memaklumkan bahawa misi kedua selepas sumbangan makanan adalah khidmat membersihkan rumah-rumah ibadat atau premis-premis penting di semua kawasan yang terlibat.

YDP Padang Terap, Dr. Mohd. Zawawi Ahmad juga menyelingsing seluar membantu mangsa banjir di kawasannya terutamanya di Pekan Kuala Nerang, Kampung Semeliang, Kampung Barokas dan beberapa kampung berdekatan. Keadaan di padang Terap sekarang mulai surut.

Di kawasan Pokok Sena, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Haji Rohsidi Othman turut senantiasa berada di kampung-kampung yang dilanda banjir. Sebagai YDP, Haji Mahfuz turut meredah banjir menyalurkan sumbangan di sana.

Pasukan bantuan PAS Kedah turut dibantu Ketua Penerangan Kawasan Kuala Kedah, Ustaz Mohd. Fauzi Hussain dan Timbalan Ketua Penerangan negeri, Haji Adnan Saad.

Pengantin

Pagi semalam pasukan bantuan ini ke Sekolah Kebangsaan Titi Gajah (Dun Anak Bukit), pada tengahari rombongan turut dapat menyaksikan bagaimana sepasang pengantin Melayu terpaksa diarak menaiki sebuah Kubota (jentera membajak) disebabkan banjir di Padang Sera dalam Parlimen Jerlun.

PAS Kedah bergerak menyampaikan sumbangan hasil derma orang ramai dan juga wang dari Lajnah Kebajikan PAS Kedah yang dipengerusikan oleh bekas Adun Kupang, Ustaz Haji Shuhaimi Ahmad.

Hari ini, Ustaz Shuhaimi sendiri bersama Haji Adnan Saad dikejutkan dengan banjir yang melanda sekitar Kampung Seberang Pumpong, dalam Parlimen Alor Star.

(Haji Amiruddin sedang menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.)

Rata-rata, bentuk sumbangan PAS kawasan-kawasan adalah termasuk sumbangan makanan asas dan juga tenaga sukarelawan yang membantu mengalihkan barang, serta memindahkan sebahagian mangsa banjir, operasi ini turut dibantu oleh semua Dewan Pemuda PAS kawasan yang terlibat yang operasi 24 jam.

Nyata sekali kehadiran pimpinan, wakil rakyat serta petugas PAS mampu mengukirkan senyuman di kalangan mangsa, ucapan terima kasih tidak putus-putus dilafazkan oleh mereka.

Sekalipun suasana semakin kalut, namun kelibat beberapa agensi kerajaan yang sepatutnya memainkan peranan penting seolah 'hanyut' bersama arus deras ini.

Insiden Wang Tepus

Menurut Haji Mahfuz, insiden berpuluh mangsa di Wang Tepus dan Kota Mengkuang di Kubang Pasu yang gagal dibawa ke pusat pemindahan amat dikesali yang difahamkan berpunca dari jumlah bot tidak mencukupi.

Selain itu, beliau membuat teguran kerana sekalipun kawasan penempatan mangsa turut ditenggelami banjir, masih tidak ada sebarang pemeriksaan kesihatan dibuat terhadap mangsa.

Katanya lagi, NGO seperti Bulan Sabit Merah dan yang lainnya juga masih belum kelihatan.

Keadaan lalulintas juga katanya menjadi kelam kabut kerana ketiadaan anggota polis yang mengawalnya, kemana perginya mereka ini diwaktu khidmat mereka amat-amat diperlukan.

Karenah birokrasi

Malam semalam, di penempatan Sekolah Kebangsaan Gunong (Anak Bukit), mangsa dari Kampung Kota Rentang kesal dengan pelbagai karenah birokrasi yang terpaksa mereka hadapi hinggakan mereka terpaksa berjemur kesejukan dari jam 11.00 hingga jam 1.00 pagi.

Menurut salah seorang mangsa, apabila sampai, mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik-bilik darjah sekolah, sebaliknya diminta berbaris di luar, mangsa adalah termasuk anak kecil dan warga tua.

Di tingkat bawah dan tingkat dua bangunan, telah diduduki oleh mangsa lain sebelum kedatangan mangsa dari Kota Rentang ini.

(Penyelaras Jabatan Amal Kuala Kedah, Fuad Md. Lazim (kiri) mengiringi salah seorang anggota tentera yang terkena putaran kipas bot di Kepala Batas.)

Bertindak ekoran maklumat itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah menawarkan bangunan Pejabat PAS Kawasan di Kubang Rotan.

Semua mangsa kira-kira 30 orang telah bersetuju, namun mereka dilayan seperti sebiji bola, setelah naik ke atas sebuah trak polis, salah seorang anggota polis mengarahkan mereka turun atas alasan beliau mesti mendapatkan kelulusan pegawai tertinggi untuk membawa mana-mana mangsa ke mana-mana destinasi.

"Kami sejuk, lapar, kalau di sekolah ini kami tak boleh duduk, kami nak ke markas PAS, suruh kami turun pulak, kami bukan haiwan," jerit salah seorang mangsa.

Akhirnya kerana ugutan seorang JKKK yang mengatakan markas PAS tidak diiktiraf sebagai pusat pemindahan, semua mangsa terus menjadi marah.

Ketika itu, ada suara seorang lelaki menjerit dari tingkat tiga sekolah, "OK sekarang semua yang dari Kota Rentang boleh guna tingkat tiga."

Hairan bin ajaib, kenapa setelah hampir tiga jam dibiar kesejukan dan lapar barulah dibenarkan mangsa menggunakan bilik darjah di tingkat tiga itu.
-zs

0 Comments:

Post a Comment