Ahad, November 27, 2005

PASIR MAS, 27 Nov (Bernama) -- Lima calon menyerahkan kertas pencalonan masing-masing bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pengkalan Pasir di sini Ahad.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak kertas pencalonan dua calon bebas, Fauziah Ghani dan Mohd Suji @ Ahmad bin Awang kerana mereka gagal menyediakan wang deposit tunai untuk pencalonan sebanyak RM5,000.

Difahamkan kedua-dua mereka menyerahkan cek untuk pembayaran deposit berkenaan.

Selepas tamat satu jam tempoh penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (1) dekat sini, SPR kini memberikan tempoh satu jam sehingga 11 pagi ini kepada orang ramai untuk mengemukakan sebarang bantahan.

Calon PAS, Hanifa Ahmad, 59, paling awal memasuki pusat penamaan pada 9.01 pagi ini bagi menyerahkan kertas pencalonannya.

Sebelum itu, beliau yang diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dan kira-kira 5,000 penyokong berarak ke pusat penamaan calon itu.

Hanifa menyerahkan kertas pencalonan dengan dicadang Hussin Ahmad dan disokong Hashim Omar.

Seorang lagi calon bebas, Datuk Ibrahim Ali bersama kira-kira 1,000 penyokongnya tiba di pusat itu pada 9.10 pagi.

Pencalonannya dicadang Ismail Chik dan disokong Muhamad Sayuti Ismail.

Calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat, 51, yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas bersama-sama hampir 10,000 penyokongnya tiba di pusat berkenaan 10 minit kemudian.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa, Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kerajaan BN serta menteri-menteri kabinet ialah antara yang mengiringi beliau ke pusat itu.

Kertas pencalonannya dicadang Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan disokong Che Harun Che Ngah.

Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Okt lepas akibat penyakit kanser hati. SPR menetapkan 6 Dis ini sebagai hari pengundian.

Mengikut Daftar Pemilih yang disahkan SPR pada 15 Ogos 2005, seramai 18,411 termasuk 195 pengundi pos layak mengundi melibatkan 10 daerah mengundi iaitu Banggol Chicha, Kubang Badak, Kubang Bemban, Kampung Bharu, Kampung Dangar, Pengkalan Pasir, Jalan Pasir Pekan, Slow Machang, Kasa dan Sakar.

Pihak polis turut mengadakan kawalan keselamatan bagi memastikan proses penamaan calon itu berjalan lancar.

0 Comments:

Post a Comment