Isnin, Oktober 31, 2005

Oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Assalamualaikum wmt wbh;
BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT yang memberikan limpah kurnia dan kekuatan untuk menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadan tahun ini dan mudah-mudahan kita memperolehi takwa yang dijanjikan-Nya. Bulan yang penuh keberkatan ini adalah bulan ibadah yang paling berharga terutama amalan pada malam al-Qadar yang hanya ada pada bulan ini. Saya yakin setiap amalan kita yang ikhlas akan mendapat balasan yang sewajarnya.
Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri.
Pembaziran adalah dilarang oleh agama kita manakala sambutan di luar batas syarak mestilah dijauhi. Satu Syawal sesungguhnya bukan pesta makanan dan hiburan yang melampau tetapi adalah waktu kita menzahirkan kesyukuran melalui aktiviti silaturrahim sesama insan.
Ketika kita semua bergembira, umat Islam harus berdukacita dengan gejala negatif yang berterusan melanda sebahagian masyarakat kita hari ini.
Keruntuhan akhlak di kalangan anak muda kita mesti diberikan perhatian bersungguh-sungguh yang menyeluruh, sama ada melalui pendidikan, kawalan media, pembinaan institusi keluarga yang mantap dan mungkin melalui undang-undang yang sesuai.
Kerajaan saja tidak mungkin berkeupayaan seperti yang kita telah saksikan selama ini. Maka saya mengajak semua rakyat mengangkat agenda pembinaan masyarakat ini secara bersama.
Umat Islam harus menyedari bahawa ancaman terhadap mereka berterusan termasuk sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Di bumi suci Palestin, ribuan rakyatnya terus menjadi mangsa kezaliman tentera rejim Zionis Israel.
Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam masih lagi di tangan Zionis. Siapakah yang akan membebaskan bumi suci ini?
Di Iraq, penaklukan oleh kuasa-kuasa besar terus ditolak oleh rakyat melalui pengeboman hampir setiap hari. Begitu juga di Chechnya di mana umat Islam sentiasa menjadi mangsa kekejaman tentera Rusia yang melakukan kezaliman tanpa sebarang perikemanusiaan.
Begitu juga dengan nasib saudara se-Islam serta serumpun kita di Selatan Thailand. Mereka terus dinafikan hak dan semestinya diberikan pembelaan oleh seluruh umat Islam. Saya juga ingin membuat seruan khusus kepada seluruh masyarakat dunia khasnya umat Islam untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Pakistan dan Kashmir.
Tanggungjawab umat Islam yang terpisah akibat pembahagian geografi dan politik ini bukan sekadar menginsafi peristiwa sedih ini tetapi lebih daripada itu ialah mencari jalan supaya umat Islam dihormati haknya untuk terus hidup dalam mana-mana negara dengan hak asasi mereka dilindungi. Tindakbalas melalui keganasan semata-mata tidak mungkin boleh menghasilkan penyelesaian kepada kegawatan ini.
Yang perlu ialah tindakan bersatu dan tegas umat Islam termasuk oleh kerajaan negara Islam, gerakan Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan badan Islam antarabangsa seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), bagi menyuarakan tuntutan keselamatan umat Islam seluruh dunia.
Jika umat Islam yang terpisah ini bertindak mengikut kepentingan negara dan kelompok masing-masing, percayalah kita akan ditindas secara berterusan dan sistematik.
Mungkin kita di Malaysia yang sedang aman ini boleh menerajui agenda besar ini.
Akhirnya, marilah kita memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala kekurangan dan kesilapan yang kita lakukan sepanjang tahun yang lalu dan berdoa agar masa depan umat Islam lebih berjaya dan meningkat daripada sebelumnya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar; Walillahil Hamd.

0 Comments:

Post a Comment