Ahad, Oktober 30, 2005

Rembau Sabtu 29 Okt - Dr Rosli Yaakop, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan hari ini telah melancarkan Tabung Mangsa Gempa Bumi Asia Selatan peringkat Negeri Sembilan dalam satu majlis ringkas selepas Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Markas PAS Kawasan Rembau.

Sehubungan dengan itu beliau menyeru kepada semua ahli khususnya dan rakyat di Negeri Sembilan ini agar menghulurkan derma melalui tabung ini untuk membantu meringankan beban mangsa gempa bumi di Asia Selatan terutamanya di Pakistan yang terjejas teruk akibat malapetaka tersebut. Apatah lagi ujar beliau kebanyakkan mangsa gempa bumi tersebut adalah saudara seagama kita, dimana sakit saudara kita itu sepatutnya dirasai oleh umat Islam di Malaysia ini.

Beliau juga menyeru agar umat Islam di Malaysia ini bersatu membantu mangsa-mangsa di negara yang dilanda malapetaka seperti di Acheh yang masih belum pulih daripada bencana Tsunami dan sekarang ini di Asia Selatan pula, dimana semua ini adalah ujian daripada Allah swt untuk kita semua. Umat Islam menurut beliau tidak sepatutnya menyerahkan bulat-bulat usaha menyelamatkan mangsa gempa bumi tersebut kepada PBB tanpa kita sendiri berusaha untuk membantu saudara kita di sana.

Beliau juga turut mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua ahli PAS di Negeri Sembilan dan umat Islam di Malaysia ini amnya agar meraikan Idil Fitri dengan penuh rasa syukur, insaf, merapatkan ukhuwwah dan secara sederhana sesuai dengan apa yang dituntut Islam.

0 Comments:

Post a Comment