Khamis, Oktober 13, 2005

Al-Quran kosong

Oleh Yahya Awang TAIPING: Seorang pesara di sini terkejut apabila mendapati kitab suci al-Quran milik cucunya didapati hilang cetakan ayat-ayat suci pada lapan muka suratnya, membabitkan surah tertentu seperti Al-Ahzab, Saba' dan Al-Qasas. Apa yang menghairankan, ayat suci pada lapan muka surat kitab itu `hilang’ walaupun al-Quran itu digunakan sejak kira-kira dua tahun lalu. Zakaria Awang, 68, dari Taman Kaya, Pokok Assam di sini, mendakwa kehilangan cetakan ayat suci itu disedari Isnin lalu ketika cucunya, Nurul Jannah Abdul Aziz, 13, mahu menggunakannya untuk membaca Yasin sempena kedatangan Ramadan. Katanya, selepas melakukan pemeriksaan, beliau mendapati lapan muka surat al-Quran terbabit didapati tinggal kertas putih tanpa sebarang tanda atau tulisan ayat suci yang tertera sebelum ini. “Cucu saya belajar membaca al-Quran dengan seorang guru agama di kawasan perumahan ini sejak dua tahun lalu dengan menggunakan al-Quran yang sama, malah dia sudah khatam tiga kali tetapi tidak menemui muka surat yang kosong itu. “Selain itu, empat lagi cucu saya turut menggunakan kitab al-Quran yang sama tetapi tak pernah menemui mukas urat kosong berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Zakaria berkata, beliau menyedari hal itu apabila diberitahu Nurul Jannah yang menemui helaian muka surat kosong berkenaan ketika hendak membaca Yasin dalam al-Quran itu pada malam Isnin lalu. Katanya, beliau kemudian menceritakan hal itu kepada beberapa imam dan guru agama sebelum dinasihatkan merujuk perkara itu kepada pihak berkaitan yang lebih arif. Dalam pada itu, Nurul Jannah mengesahkan dia sudah tiga kali khatam membaca kitab al-Quran berkenaan selepas belajar daripada seorang guru agama di kawasan berhampiran. “Saya sudah berulang kali membaca kitab suci al-Quran ini tetapi tak pernah menemui muka surat yang kosong sebelum ini. “Oleh itu saya meminta bapa membeli al-Quran baru dan meminta dia menyemak dulu penerbit, pencetak dan cop kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), serta kalau boleh muka suratnya satu persatu,” katanya. Sementara itu, bapa Nurul Jannah, Azhari Abdul Aziz, 42, seorang kakitangan Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berkata, beliau membeli kitab suci itu daripada seorang penjual kitab agama di Taiping, kira-kira dua tahun lalu untuk kegunaan anaknya. “Saya bayar saja harga yang ditetapkan tanpa menyemak penerbit, pencetak, serta sama ada sudah dilulus dan disahkan Jakim,” katanya. Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi, meminta sesiapa di negeri ini yang memiliki kitab suci al-Quran dan halamannya kosong tanpa cetakan ayat suci, supaya menyerahkan kepada Jakim atau Jabatan Mufti Perak dengan segera. Katanya, Jakim atau Jabatan Mufti Perak akan menjalankan siasatan termasuk syarikat penerbitan, pencetak dan juga mengkaji kemungkinan ia satu kesalahan cetak. Menurutnya, jabatan itu sebelum ini menerima banyak kes di Perak yang mendakwa ayat suci di dalam kitab al-Quran yang hilang, mungkin kerana kesilapan cetakan. “Oleh itu mereka yang memiliki al-Quran yang terdapat cetakan ayat-ayatnya didakwa hilang supaya menyerahkan dengan segera kepada kami untuk disiasat,” katanya. Harussani berkata, kemungkinan silap cetak juga tidak mustahil berlaku kerana insan tidak luput daripada melakukan kesilapan. “Jadi kita mahu semak, siasat dan lihat kepastian akan dakwaan hilang itu termasuk mengetahui pencetaknya,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment