Jumaat, September 30, 2005

Oleh: IBNU W YAACOB
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) – Belum pun sempat kerajaan Barisan Nasional (BN) membentang belanjawan bagi tahun 2006, PAS hari ini telah mengemukakan empat langkah fiskal sebagai saraan bagi kebaikan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Empat langkah itu adalah, belanjawan mestilah yang prorakyat, properniagaan, propertumbuhan ekonomi dan propengurusan kewangan awam yang berhemat.

Empat langkah fiskal itu bermotif kepada menjana pertumbuhan ekonomi yang sederhana tetapi lestari, meringankan beban rakyat, memantapkan sektor swasta dan menjana suasana kondusif bagi meningkatkan daya saing dalam ekonomi.

Saranan itu dibentang oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar dan Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakob di Bilik Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen sebentar tadi.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan wakil pelbagai media.

Antara cadangan yang terkandung dalam saranan belanjawan 2006 yang dikemuka PAS itu ialah, kerajaan perlu membekukan kenaikan harga runcit petroleum, membekukan kadar tol, membekukan kadar tarif air dan elektrik, mewujudkan kadar upah minimum dan menurunkan kadar duti eksais kereta import.

PAS juga mahu kerajaan menentukan akses yang seluas-luasnya kepada semua golongan untuk mendapatkan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Selain itu dalam saranan itu PAS juga mencadangkan kepada kerajaan agar memberi dua setengah bulan bonus kepada kakitangan awam atau tidak kurang daripada RM2,000.

PAS juga mahu kerajaan memansuhkan cukai jalan bagi kenderaan berkuasa bawah 1,500 cc, katanya.

Dalam masa yang sama, PAS juga mahu kerajaan membaikpulih daya saing ekonomi kerana mengikut laporan Institut Pembangunan Pengurusan yang berpusat di Geneva, kedudukan daya saing Malaysia jatuh daripada tempat ke-16 kepada ke-28.

"Amalan rasuah dan birokrasi menyumbang kepada kejatuhan ini," kata Kamaruddin.

Selain itu PAS juga mahu kerajaan menggalakkan keseimbangan pembangunan antara wilayah supaya keciciran pembangunan yang berlaku selama ini di wilayah seperti Sabah dan Sarawak dapat diatasi, katanya.

PAS juga mahu kerajaan mengurangkan hutang kerajaan yang kini dianggarkan sekitar RM180 hingga RM200 bilion, iaitu melebihi 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

(Dapatkan kenyataan penuh Pembentangan Saranan Langkah-langkah Belanjawan Alternatif 2006 di ruangan kenyataan rasmi Harakahdaily dalam masa terdekat)

 

0 Comments:

Post a Comment